Tiga PPS di Baling ditutup, mangsa banjir di Kedah menurun

29 Oct 2022 • 8:11 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

ALOR SETAR: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Baling malam tadi ditutup 4 petang hari ini, selepas kesemua 108 mangsa banjir dibenarkan pulang.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata tiga PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, SK Seri Bayu dan SK Siong.

“Dengan penutupan tiga PPS itu, jumlah mangsa banjir di Kedah menurun kepada 144 orang daripada 45 keluarga, berbanding 267 orang daripada 87 keluarga pagi tadi.

“Setakat ini, hanya dua PPS masih aktif iaitu masing-masing satu di Kota Setar dan Kubang Pasu,“ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Suka Menanti di daerah Kota Setar juga menurun kepada 71 mangsa daripada 22 keluarga, berbanding 75 mangsa pada 12 tengah hari tadi.

“PPS SK Binjai di Kubang Pasu pula masih menempatkan seramai 73 mangsa daripada 23 keluarga,“ katanya.-Bernama