Tiga PPS ditutup, kesemua mangsa banjir di Melaka dibenarkan pulang

15 Apr 2024 • 5:48 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup secara berperingkat hari ini selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata PPS di daerah Alor Gajah di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal ditutup pukul 1 tengah hari, manakala PPS di Balai Raya Bukit Balai ditutup pada 3 petang tadi.

“PPS di daerah Melaka Tengah di Japerun Ayer Keroh telah ditutup lebih awal iaitu pukul 10 pagi,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tiga PPS itu dibuka sejak malam tadi susulan beberapa kawasan dinaiki air akibat hujan lebat pada 4 petang semalam menyebabkan air sungai melimpah.

Antara kawasan terjejas di daerah Alor Gajah ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Parit Melana, Kampung Bukit Balai, Taman Murai Jaya, Kampung Padang Keladi, Kampung Belimbing Dalam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Durian Tunggal.

Sementara itu, di daerah Melaka Tengah, kawasan terjejas ialah Kampung Sungai Putat, Taman Melawis Bukit Beruang, Taman Ayer Keroh Heights dan Kampung Enam.