Tiga premis terbabit kebakaran di Bukit Selambau beroperasi secara haram: JAS

4 Dec 2023 • 8:57 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

SUNGAI PETANI - Tiga premis di kilang yang terbabit dalam kebakaran di Bukit Selambau, dekat sini malam semalam dipercayai beroperasi secara haram.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata dua premis didapati tidak pernah mendapat sebarang kelulusan operasi daripada JAS, sementara satu premis lagi telah mendapat kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada 2020 tetapi tidak mengemukakan permohonan lesen untuk beroperasi.

“Buat masa ini, pegawai JAS masih belum dibenarkan masuk ke lokasi kebakaran untuk mengambil sampel kerana kebakaran belum dapat dipadam sepenuhnya.

“JAS Kedah walau bagaimanapun, telah memulakan siasatan dan merakamkan percakapan pemilik tanah. Berdasarkan keterangan awal daripada pemilik tanah, lot terbabit telah disewakan kepada tiga premis berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Zakiah berkata dua premis yang terlibat disyaki menjalankan aktiviti pengasingan sekerap logam dan sekerap logam yang telah diasingkan disyaki dihantar ke ke premis ketiga untuk aktiviti peleburan.

Beliau berkata aktiviti ketiga-tiga premis terbabit adalah tertakluk kepada Aktiviti 14(b)(ii), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata pemantauan kualiti udara 24 jam di lokasi kejadian telah dilaksanakan oleh JAS Kedah bermula hari ini dengan menggunakan peralatan ‘Grimm’ dan ‘Cerex’.

“Siasatan di kawasan kebakaran akan diteruskan menggunakan dron dan persampelan akan dijalankan selepas kebenaran pihak bomba diperoleh bagi memasuki ruang yang terbakar,” katanya.

Tiga gudang yang menempatkan barangan terpakai berupa logam tembaga dan wayar di sebuah kilang di Bukit Selambau dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam semalam.

Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan “bunga api”, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada 10.02 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - 4 Disember, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved