Tiga Remaja Ditahan Bantu Kes Bunuh Penuntut Universiti – Polis

LocalPolitics
27 Jun 2025 • 9:43 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Tiga Remaja Ditahan Bantu Kes Bunuh Penuntut Universiti – Polis

SEPANG — Tiga remaja termasuk dua perempuan berumur antara 19 dan 20 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar universiti di sebuah unit kediaman di Cyberjaya pada Selasa, lapor Astro AWANI.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kesemua suspek dikesan dan ditahan di sekitar Johor Bahru, Johor dan Gemencheh, Negeri Sembilan sekitar jam 9 pagi semalam hingga 2 pagi hari ini.

Polis dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang antara yang terlibat dalam operasi berkenaan.

“Kesemua tangkapan dilakukan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima.

“Kesemua suspek juga mengenali mangsa, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis akan membuat permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta mengelakkan tindakan melanggar undang-undang.

Terdahulu, mangsa yang berusia 20, ditemui tidak bernyawa oleh rakannya di dalam bilik asramanya di Cyberjaya sekitar jam 10 pagi kejadian.

Mangsa yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di sebuah universiti di Cyberjaya, tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.

Pada hari kejadian, mangsa dijadualkan menghadapi peperiksaan.

Difahamkan, beberapa barangan berharga mangsa turut dilaporkan hilang, dipercayai dilarikan suspek pada hari dia ditemui mati.

Semalam, seramai 14 individu termasuk rakan serumah dan pensyarah telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Sumber: Astro AWANI