Tiga sekeluarga selamat banglo ditimpa tanah runtuh di Ampang

15 Nov 2022 • 1:52 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila banglo yang didiami mereka di Taman Halaman di sini, ditimpa tanah runtuh menyebabkan sebahagian dinding bahagian belakang rumah itu roboh.

image is not available
Sebahagian dinding bahagian belakang banglo di Taman Halaman, Ampang roboh ditimpa tanah runtuh pada 15 November 2022. Foto Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Ampang

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.30 pagi tadi dan mengerahkan jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata bomba mendapati kejadian tanah runtuh berlaku di bahagian belakang banglo lima tingkat itu dan terdapat tanah dan batuan dari cerun bukit menimpa serta merobohkan dinding bahagian dapur di tingkat satu dan bilik tidur di tingkat dua.

“Pasukan (kami) turut memeriksa semua tingkat dan bilik di rumah berkenaan bagi memastikan semua penghuni sudah keluar dengan selamat.

“Bomba kemudian membuat pemeriksaan pergerakan tanah dan memasang sawar-sawar di kawasan tanah runtuh,” katanya ketika dihubungi.

Norazam berkata tindakan lanjut diserahkan kepada Unit Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang turut berada di lokasi.

-BERNAMA