
Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) merekodkan tiga spesies udang karang berduri (Panulirus spp.) dari perairan Sabah.
Penemuan itu dibuat oleh saintisnya daripada Institut Marin Borneo (IMB), diketuai oleh Profesor Madya Dr Chen Cheng Ann bersama pelajar Sarjana Sains, Ng Wei Ling.
Tiga spesies tersebut ialah Panulirus homarus homarus, P. polyphagus dan P. femoristriga. Dua daripada spesies ini merupakan rekod baharu bagi Malaysia (P. femoristriga dan P. h. homarus), manakala satu spesies lagi (P. polyphagus) merupakan rekod baharu bagi Sabah.
Chen berkata penemuan ini signifikan kerana ia mengemas kini rekod biodiversiti marin Malaysia serta menekankan keperluan untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan di Sabah.
“Sebelum kajian ini, hanya tiga spesies udang karang berduri iaitu Panulirus ornatus, P. versicolor dan P. longipes diketahui terdapat di perairan Sabah sejak 2004.
“Penyelidikan kami kini telah menggandakan jumlah tersebut kepada enam spesies, sekali gus menunjukkan bahawa masih banyak biodiversiti marin Sabah yang belum diterokai,” katanya.
Chen menambah, pasukan penyelidikan turut merekodkan Panulirus stimpsoni dari Semenanjung Malaysia, sekali gus memperluaskan senarai semak udang karang berduri di peringkat kebangsaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kajian berkenaan dijalankan dalam keadaan mencabar ketika pandemik Covid-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta akses yang terhad ke tapak lapangan dan komuniti nelayan.
Sebelum ini, data mengenai kepelbagaian udang karang berduri di Sabah tidak dikemas kini sejak 2004. Peningkatan jumlah spesies yang direkodkan menunjukkan bahawa lebih banyak biodiversiti marin berpotensi masih belum didokumentasikan di perairan pesisir dan pulau-pulau di negeri ini.
Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor memuji kejayaan pasukan penyelidik yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam bidang sains marin serta mencerminkan kecemerlangan penyelidikan negara.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr Shuhadah Mustapha berkata penemuan tersebut penting bagi menyokong usaha pengurusan sumber perikanan negeri.
Katanya, udang karang berduri merupakan antara kumpulan krustasea yang mempunyai nilai komersial tinggi, dan peningkatan kepelbagaian spesies yang diketahui menunjukkan bahawa protokol pengurusan perikanan perlu dikemas kini.
“Jabatan Perikanan Sabah akan mengambil kira penemuan ini dalam pelan pengurusan masa hadapan dan berharap dapat terus bekerjasama dengan UMS,” katanya.
Udang kara berduri merupakan spesies marin penting, memakan haiwan kecil dan membantu memelihara ekosistem karang yang sihat.
Ia juga merupakan sumber makanan penting bagi ikan, manusia dan pemangsa lain, sekali gus menghubungkan rantaian makanan marin.
