'Tiga tahun belajar, diarah tak hadir konvo?' - Dakwaan pelajar raih perhatian, tindakan segera Pengerusi MARA dipuji

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 5:10 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Tiga tahun belajar, diarah tak hadir konvo?' - Dakwaan pelajar raih perhatian, tindakan segera Pengerusi MARA dipuji

DETIK menggenggam skrol di pentas konvokesyen bukan sekadar simbol tamat pengajian, itu hari yang cukup bermakna. Kemuncak perjalanan penuh pengorbanan, air mata dan harapan. 

Namun bagi seorang pelajar institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), momen yang sepatutnya manis itu hampir bertukar pahit apabila dia mendakwa tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen kerana isu kekangan tempat duduk.

Perkongsian yang dibuat oleh pengguna media sosial @Eimndanial pantas mencuri perhatian ramai. 

Dalam nada kecewa, pelajar tersebut meluahkan rasa tidak puas hati selepas dimaklumkan bahawa kehadirannya ke majlis konvokesyen tidak dapat dipenuhi, malah diminta untuk mengesahkan ketidakhadiran melalui pautan yang disediakan.

“Tiga tahun aku belajar untuk dapatkan diploma. Eh, kau senang-senang suruh aku tidak hadir untuk konvokesyen. Mudah cara penyelesaian kau eh Mara (Majlis Amanah Rakyat)," tulisnya di kapsyen tersebut.

Luahan jujur itu jelas menggambarkan betapa besarnya nilai sebuah konvokesyen buat seorang pelajar. 

Bukan sekadar majlis formal, tetapi simbol pengiktirafan terhadap usaha bertahun-tahun yang dilalui, dari dewan kuliah hingga ke malam tanpa tidur menyiapkan tugasan.

Seperti dijangka, hantaran tersebut mencetuskan reaksi pelbagai pihak. Rata-rata netizen mempertikaikan bagaimana isu seperti ini boleh berlaku, lebih-lebih lagi melibatkan acara penting yang seharusnya dirancang dengan teliti. 

Tidak kurang juga yang tampil ‘menyeru’ Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi Dusuki untuk tampil memberi penjelasan.

Tindakan segera

Menariknya, respons tidak mengambil masa lama. Asyraf Wajdi sendiri tampil membalas di ruangan komen, memaklumkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menyemak perkara tersebut.

“Terima kasih ‘tagged’ saya. Saya dah minta pegawai saya semak dengan bahagian berkaitan. Insya-ALLAH, sepatutnya selesai," jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa situasi sebegitu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi melibatkan detik penting dalam kehidupan seorang pelajar.

“Tidak wajar peristiwa besar maknanya kepada pelajar ada had dan kuota. Ini kali pertama saya dengar isu sebegini,” ujarnya.

Tindakan pantas itu nyata meraih pujian ramai. Dalam era digital yang serba pantas, kecekapan memberi respons dilihat sebagai satu nilai tambah, terutama apabila melibatkan kebajikan pelajar. 

Bagi sebahagian netizen, pendekatan proaktif sebegini memberi keyakinan bahawa suara rakyat, walau sekecil mana pun, tetap didengari.

Namun di sebalik penyelesaian segera, isu ini membuka ruang perbincangan yang lebih luas. Dalam dunia pendidikan yang semakin berkembang, pengurusan acara besar seperti konvokesyen memerlukan perancangan rapi dan sistem yang efisien. 

Soal kuota, kapasiti dan penyelarasan bukan perkara kecil apabila ia melibatkan ratusan, malah ribuan pelajar yang menanti hari bersejarah dalam hidup mereka.

Lebih daripada itu, konvokesyen adalah tentang emosi ibu bapa yang bangga melihat anak naik ke pentas, tentang rakan seperjuangan yang sama-sama meraikan kejayaan dan tentang penamat sebuah fasa sebelum melangkah ke dunia sebenar.  Apabila detik ini terganggu, ia bukan sekadar isu teknikal, tetapi menyentuh nilai sentimental yang sukar diganti.

Bagi pelajar pula, konvokesyen bukan sekadar acara… ia adalah penutup sebuah perjuangan yang layak diraikan sepenuhnya.

View Original Article