Tiga terkorban di Turkiye selepas roket dilancarkan dari Syria

21 Nov 2022 • 11:51 PM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

KARKAMIS: Tiga terbunuh selepas serangan roket di daerah Karkamış di Turkiye, berhampiran sempadan Syria, menurut Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu.

Lima roket dilaporkan telah dilancarkan pada Isnin, salah satunya membantai sebuah sekolah.

Sepuluh orang cedera dalam serangan roket tersebut, dua daripadanya parah.

Menurut agensi Anadolu Turkiye, roket itu turut membedil 2 buah rumah serta sebuah trak berhampiran persimpangan sempadan yang menghubungkan Karkamis ke bandar Syria, Jarablus.

Imej yang diterbitkan Anadolu menunjukkan tingkap pecah di sekolah serta sebuah trak yang terbakar.

Sebelum itu, pada Ahad, roket yang dilancarkan dari Syria telah mencederakan 6 anggota polis dan 2 askar apabila roket membedil sempadan.

Pejuang Kurdish disyaki menembak roket dari utara Syria, selepas tentera udara Turkiye melakukan serangan udara ke atas kedudukan di Syria yang ditawan oleh Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG), pada Ahad berkenaan.

Serangan udara Turki turut menyasarkan kedudukan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di utara Iraq.

Serbuan di Syria itu membunuh sekurang-kurangnya 31 orang, menurut kumpulan pemantau, Syrian Observatory for Human Rights.

Turkiye menuduh PKK menjadi dalang insiden letupan bom di Istiklal Street di kawasan Dataran Taksim, yang mengorbankan 6 orang pada 13 November lalu dan menuduh YPG sebagai sekutu PKK di Syria.

Walaupun begitu, PKK menafikan sebarang penglibatan dalam serangan berkenaan.