Tiga warga asing ditahan cuba seludup minyak masak

13 Sep 2025 • 5:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan tiga lelaki warga asing yang dipercayai cuba menyeludup keluar minyak masak bersubsidi ke negara jiran, pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain berkata, sebuah bot tanpa nombor pendaftaran ditahan pada pukul 12.45 tengah hari di kedudukan 8.79 batu nautika utara Kuala Mumiang.

“Suspek dilihat cuba membuang beberapa objek ke laut setelah menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa sebanyak 120 pek minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Turut ditemui wang tunai berjumlah RM6,850 pada salah seorang kru yang ditahan,” katanya.

Tambah beliau, tiga kru lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 39 tahun itu ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, selain bot yang digunakan juga tidak mempunyai dokumen pendaftaran.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Bot bersama barang rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 berserta kru diiringi ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keselamatan perairan negara melalui kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

“Rondaan serta pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan perairan negara kekal selamat,” tegas beliau.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan, jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menyalurkan aduan ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan pada 089-229504 yang beroperasi 24 jam.