
Tahniah kepada anda yang berjaya mendapatkan tiket Konsert ‘Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia’ yang dijadualkan pada 9 Ogos hadapan. Ini kerana baru sebentar tadi ratu rock negara, Ella mengumumkan bahawa tiket-tiket untuk konsert yang bakal berlangsung di di Plenary Hall, Kuala Lumpur ini telah pun habis terjual.
Pengumuman yang dilakukan menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya itu turut mengundang perhatian kerana Ella turut memberi bayangan akan ada konsert hari kedua jika ramai yang mengkehendakinya.
“Anda semua hebat! komen ‘👑’ untuk hari kedua konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia!,” tulis Ella.

Melihat kepada komen-komen peminat pada hantaran tersebut, ternyata ramai lagi yang belum sempat membuat belian memandangkan tiket konsert hanya mula dijual pada Khamis, 16 Mei 2024, jam 12 tengah hari di www.hitmanlive.com.
Kali terakhir Ella mengadakan konsert dalam genre orkestra adalah pada tahun 2017 lalu, dan untuk konsert kali ini, Ella memberitahu dia akan menggabungkan dua perkara iaitu sebuah persembahan yang lebih intim dan meluangkan masa bersama peminat-peminat tersayang.
Ella atau Norzila Aminuddin, 58, turut mengatakan bahawa konsert kali ini akan membawa perubahan dalam persembahan dengan kreativiti dan gabungan rock serta orkestra yang akan diatur oleh seorang pengarah muzik ulung, iaitu Datuk Acis.
“Perbezaan konsert yang diadakan sebelum ini dengan Jilid Rockestra Ella ialah, ia adalah gabungan antara genre rock dengan 15 orang pemain muzik orkestra profesional.
“Selain gabungan rock dan orkestra, konsert kali ini memberi kami peluang mempersembahkan kreativiti kami dalam berkarya dengan penambahan lagu-lagu hits yang belum sempat dimainkan, dan masih di bawah pimpinan pengarah muzik iaitu Datuk Hashridz Murshim bin Hassim atau Datuk Acis,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ella turut menegaskan bahawa ia akan mengekalkan solidaritinya terhadap Palestin dan akan terus bersuara demi manusiawi sepanjang berlangsungnya konsert nanti.
“Konsep konsert masih lagi dalam perbincangan namun secara keseluruhannya adalah rapi, dari segi elemen muzik, set pentas, fesyen ‘glam rock’ dan semuanya akan kami ambil kira, namun secara keseluruhannya boleh saya rangkumkan dalam satu ayat, ‘rockchic rockestra’.
“Saya jangkakan durasi konsert akan berlangsung sekitar 2 jam 30 minit dengan 25 buah lagu yang bakal dipersembahkan, tidak termasuk dengan rangkain lagu-lagu medley yang telah kami gubah demi memenuhi permintaan perminat.
“Apa yang pasti, ketika konsert nanti pasti ada kejutan dengan artis jemputan yang istimewa.
“Selain artis jemputan, akan ada segmen khas dimana saya akan mendendangkan beberapa buah lagu asli diiringi tarian buat penonton yang hadir,” ujar Ella.
Jadi, jika anda di antara mereka yang masih menyimpan Impian untuk konsert hari kedua, jangan lupa komen di akaun Instagram Ella cepat-cepat! - Getaran, 17 Mei 2024
Foto : IG Ella

![“Allahu Sedihnya” – Ramai Sebak Lihat Warga Emas Jual Buah Potong Tepi Jalan Guna Basikal [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)

![Wanita Didakwa Keluar Simpang Terburu-buru & Sebabkan Kemalangan, Namun Tak Nak Mengaku Salah [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/cars.jpeg)
![“Pelik Tapi Benar” – Rakaman Cara Ular Panjat Pokok Raih Perhatian Ramai [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/environment.jpeg)