Adakah TikTok aplikasi yang merosakkan minda anak-anak muda? Ini ialah kepercayaan golongan tua yang melihat semua perkara baharu yang tidak wujud semasa mereka masih lagi setinggi angsa sebagai tidak bagus untuk golongan muda. Kerana popularitinya, TikTok kini menjadi sasaran golongan ini. Di Eropah, TikTok mula mengaktifkan susur khas yang menyarankan kandungan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sebelum ini susur STEM ini diberikan kepada pengguna TikTok di Amerika Syarikat sahaja. Selepas diaktifkan, 33% pengguna memilih untuk menerima saranan kandungan STEM pada tab For You mereka dan wujud peningkatan kandungan STEM sebanyak 24%. Susur kandungan STEM ini diaktifkan kepada semua pengguna berusia 18 tahun ke bawah. Kepada pengguna lain, ia perlu diaktifkan secara manual.
Belum diketahui bilakah saranan kandungan STEM Ini akan diberikan kepada semua pengguna global. Pengenalannya di Amerika dan Eropah hanya berlaku selepas pihak berkuasa menuduh TikTok meracuni minda anak muda dengan “kandungan sampah”. Jika anda mahukan ia di Malaysia, mungkin anda perlu memberikan tekanan kepada pihak berwajib yang kemudiannya akan memberikan arahan kepada TikTok.
- Sumber
- TechCrunch




