Tidak dinafikan kos hidup dilihat makin meningkat. Dalam memudahkan pembelian barangan disamping menyokong industri PMKS (Perniagaan Mikro Kecil Sederhana), TikTok Malaysia hari ini mengumumkan sejumlah pelaburan besar bernilai RM 180juta untuk pekedai mahupun pembeli bagi membeli barangan asas menerusi TikTok Shop.

Menerusi kerjasama antara Tiktok Shop dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, beberapa program akan dijalankan bagi meringankan kos sara hidup disamping membantu usahawan tempatan. Terdapat beberapa program yang akan dilaksanakan iaitu JomLokal 2026, program jualan Ihsan Rahmah dan setiap program ini juga akan mempunyai diskaun serta bantuan bagi menggalakkan pembelian menerusi TikTok Shop.

Antara langkah yang dijalankan termasuk komisen sifar yang diluaskan lagi merangkumi 5 barangan baharu antaranya susu, susu tepung, yogurt dan bermacam lagi. Ini menjumlahkan sebanyak 56 sub-kategori yang menerima manfaat komisen sifar. Pembeli pula bakal menerima rebat RM 2 untuk setiap pembelian bagi mengurangkan kos penghantaran.

Seterusnya Jualan Ihsan Rahmah juga akan dilakukan menerusi TikTok Shop yang akan memberikan diskaun sehingga 30% untuk barangan asas. Caranya adalah semudah mengaktifkan TikTok Pay dengan pengesahan kad pengenalan, dan lakukan pembelian menerusi siaran langsung Jualan Rahmah pada setiap Tawaran Hari Gaji. Layari Pesta JomLokal untuk mengetahui aktiviti TikTok Shop yang seterusnya pada masa akan datang.

