Selepas syarikat perlu dijual di Amerika Syarikat, kini TikTok berhadapan pula dengan Suruhanjaya Eropah (EC) yang meminta mereka mematikan ciri yang didakwa menyebabkan pengguna ketagihan untuk terus mengakses aplikasi. Ciri-ciri seperti skrol infiniti, memainkan video secara automatik, notifikasi berterusan dan algoritma yang menyarankan kandungan seterusnya yang perlu ditonton.

Dalam penemuan awal di bawah Akta pasaran Digital (DSA), EC menyatakan TikTok gagal menilai risiko terhadap kesejahteraan pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan. Mereka juga didakwa mengabaikan indikator ketagihan aplikasi pada pengguna seperti masa penggunaan pada waktu malam dan kekerapan aplikasi dibuka.
Oleh itu EC meminta TikTok mengubah antaramuka seperti mematikan skrol infiniti, mengubah cadangan video dan melaksanakan masa berehat daripada menonton skrin. TikTok menafikan dakwaan EC serta, menyifatkannya sebagai tidak berasas dan mengambil apa jua langkah yang diperlukan untuk mencabar penemuan melalui setiap cara yang tersedia.
Dakwaan ke atas TikTok oleh EC ini tiba dalam situasi beberapa negara EU seperti UK, dan Perancis menyatakan hasrat mengharamkan penggunaan media sosial dalam kalangan individu bawah 16 tahun mengikut langkah yang dimulakan Australia pada Disember lalu.




