TikTok Komited Pantau Kandungan 3R

28 Aug 2023 • 6:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fahmi ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pengendali aplikasi TikTok hari ini. - gambar X

KUALA LUMPUR – Pengendali aplikasi TikTok bersetuju untuk memberi komitmen penuh untuk memantau sebarang kandungan hantaran berkait agama, raja dan kaum (3R).

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

Fahmi berkata pengendali aplikasi itu bersetuju memberikan sepenuh komitmen dalam memantau dan mengambil tindakan terhadap kandungan sedemikian, dalam mesyuarat bersama wakil aplikasi tersebut hari ini.

"KKD dan Kerajaan mempertahan hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara.

“Bagaimanapun, kandungan media sosial yang melanggar undang-undang Malaysia tidak boleh dibenarkan, termasuk yang menyentuh isu 3R atau mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

"Melalui perbincangan tadi, TikTok setuju untuk beri komitmen penuh memantau dan mengambil tindakan terhadap kandungan sedemikian dengan lebih efisien, selaras dengan Garis Panduan Komuniti Tiktok itu sendiri," katanya dalam hantaran melalui aplikasi X (Twitter) hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, Datuk Seri Ramli Mohamed Yusof, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Manoj Kurup, dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Salim Fateh Din.

Mesyuarat tersebut itu turut membincangkan hal kemampanan industri media dalam memastikan ia akan terus kekal relevan.

"Saya akan bantu memastikan industri media kekal mampan, termasuk dengan merancakkan perbincangan antara kerajaan, industri media, dan platform media sosial," katanya.

Pada masa sama, Fahmi berkata, beliau turut membangkitkan isu perbelanjaan pengiklanan yang ketika ini dikaut syarikat gergasi teknologi antarabangsa.

Sebelum ini, KKD telah mengadakan perjumpaan bersama wakil TikTok dan juga MCMC untuk mengutarakan kebimbangan dan impak negatif daripada kandungan berunsur provokatif.

Hasil daripada perbincangan tersebut, pihak TikTok menyatakan hasrat dan komitmen bagi menjalin kerjasama strategik bersama KKD melalui MCMC untuk membendung dan membanteras perkara berkenaan. – Getaran, 28 Ogos 2023