TikTok memperkenalkan Bulletin Board iaitu saluran baharu dalam aplikasi yang membolehkan pencipta kandungan berkongsi secara langsung dengan pengikut. Saluran ini turut berfungsi untuk memudahkan pencipta menyampaikan kandungan eksklusif sekali gus bantu membina komuniti yang lebih kukuh di TikTok.

Sepanjang fasa beta, Bulletin Board telah digunakan oleh pelbagai pencipta termasuk artis, penerbit dan jenama terkenal untuk menyampaikan kandungan masing-masing. Sebagai contoh, pemuzik boleh berkongsi lagu atau album baharu dengan peminat, kemudian menjemput mereka untuk menyimpan dengan lebih awal sebelum pelancaran rasmi. Selepas itu, peminat boleh menambah lagu atau album tersebut ke aplikasi penstriman muzik kegemaran mereka melalui ciri Add to Music App.

Bagi peminat yang ingin menyertai, mereka hanya perlu pergi ke profil pencipta dan klik nama Bulletin Board di bawah bio. Selepas itu, peminat akan menerima notifikasi setiap kali pencipta membuat kemas kini, dan mereka boleh memberi reaksi dengan emoji.
Seperti semua kandungan di TikTok, Bulletin Board mesti mematuhi garis panduan yang dikuatkuasakan melalui teknologi serta moderator manusia. Selain itu, alat keselamatan seperti mute, block dan report turut disediakan bagi memastikan pengalaman yang positif.
Bulletin Board kini dilancarkan secara global untuk pencipta berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dengan 50,000 pengikut atau lebih.

