TikTok bersama Apple Music melancarkan ciri eksklusif ‘Play Full Song’ yang direka untuk memudahkan pencarian muzik. Melalui ciri ini, pelanggan Apple Music boleh mendengar lagu penuh yang ditemui di TikTok terus dalam aplikasi tanpa perlu beralih keluar.

Apabila pengguna menemui lagu di halaman ‘For You’ atau ‘Sound Detail’, mereka hanya perlu menekan butang ‘Play Full Song’. Tindakan ini akan membuka pemain Apple Music dan membolehkan mereka mendengar lagu tersebut sepenuhnya. Selepas itu, pengalaman mendengar boleh diteruskan dengan cadangan lagu peribadi lalu menjadikan rutin muzik harian lebih menyeronokkan.
Selain itu, lagu boleh disimpan ke dalam senarai Your Music ataupun ditambah terus ke dalam playlist Apple Music. Dengan cara ini, proses menjejak dan mendengar semula lagu menjadi lebih muda dan semua ini boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Ciri ini dibangunkan menggunakan Apple MusicKit. Setiap aliran lagu akan dibayar dalam ekosistem Apple Music. Oleh itu, artis dan pemegang hak cipta terus mendapat sokongan. Pada masa yang sama, peminat dapat menikmati pengalaman mendengar muzik yang lancar tanpa gangguan.
Selain itu, TikTok dan Apple Music kini memperkenalkanciri baharu ‘Listening Party’. Melalui fungsi ini, artis dan peminat boleh mendengar lagu bersama secara masa nyata. Mereka juga boleh berkomunikasi secara langsung serta berhubung terus dalam sesi tersebut.
‘Listening Party’ membuka cara baharu yang lebih sosial untuk menikmati muzik. Pada masa yang sama, ia mengukuhkan komuniti muzik dan mencipta pengalaman bersama yang lebih bermakna.



