TikTok Shop perkenal pakej rangsangan #JomLokal Booster RM20 juta bantu PKS tempatan

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2025 • 4:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TikTok Shop perkenal pakej rangsangan #JomLokal Booster RM20 juta bantu PKS tempatan

image is not available

25/09/2025 - 16:32

Gambar/ Facebook Timbalan Menteri KPDN

KUALA LUMPUR 25 Sept – TikTok Shop mengumumkan suntikan tambahan bernilai RM20 juta ke dalam ekonomi digital tempatan melalui #JomLokal Booster Stimulus Package yang baharu.

TikTok Shop berkata, inisiatif itu bertujuan memberikan sokongan lebih menyeluruh untuk meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta produk buatan Malaysia.

Pengarah Kanan Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, sejak 2023, sumber khusus dan pendedahan yang diberikan kepada ribuan PKS Malaysia di bawah inisiatif berterusan #JomLokal secara konsisten memacu pertumbuhan mampan untuk produk buatan tempatan.

“Dengan #JomLokal Booster Stimulus Package bernilai RM20 juta ini, kami memperkukuh komitmen untuk mengekalkan ekosistem e-dagang inklusif dengan melabur semula ke dalam ekonomi digital Malaysia dan komuniti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh berkata, visi Malaysia menjadi negara digital terunggul bergantung kepada kesediaan usahawan tempatan untuk menerima inovasi.

“Inisiatif #JomLokal adalah langkah bermakna ke arah itu dan menunjukkan bagaimana pemain industri boleh membantu meringankan kos operasi bagi PKS tempatan untuk menyertai ekonomi digital.

“Kami mengalu-alukan pelaburan berterusan TikTok Shop dalam membina ekosistem e-dagang inklusif bagi rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan mampan secara dalam talian,” katanya selepas merasmikan majlis tersebut baru-baru ini.

image is not available

Fuziah berkata, kempen #JomLokal bukan sekadar platform untuk menjual produk tempatan, tetapi lebih penting, ia berfungsi sebagai ruang untuk membina ekosistem digital yang mampan.

“Ekosistem ini bukan sahaja memacu keuntungan ekonomi, malah membentuk masyarakat yang lebih inklusif, patriotik dan berdaya saing.

“Saya percaya melalui usaha berterusan, Malaysia boleh menjadi contoh negara yang berjaya mengintegrasikan teknologi, keusahawanan dan identiti nasional ke dalam satu kerangka unik,” katanya.

PKS yang ingin menyertai #JomLokal perlu mempunyai senarai produk aktif, kurang daripada 200 pesanan sebulan dan nilai jualan kasar bulanan (GMV) di bawah RM1,000 di TikTok Shop untuk layak menerima #JomLokal Booster Stimulus Package.

Setiap penjual yang layak akan menikmati pembebasan yuran komisen RM1,000 sehingga 120 hari dan RM50 Baucar Promosi Iklan, yang ditanggung oleh platform tersebut.

Tambahan pembebasan yuran komisen di bawah pakej rangsangan itu adalah sokongan khusus untuk PKS yang sedang menyertai inisiatif #JomLokal dan berbeza daripada pembebasan yuran komisen di bawah Program New Seller Kickstart TikTok Shop, yang terbuka kepada semua penjual baharu di platform.

Menurut kenyataan TikTok Shop, pakej rangsangan itu juga akan menaja iklan untuk mempromosikan produk buatan Malaysia melalui banner carian dalam aplikasi TikTok, yang akan muncul apabila pengguna mencari kata kunci berkaitan.

“Langkah ini akan terus meningkatkan pendedahan dan trafik untuk PKS tempatan sepanjang tahun, memanfaatkan trend pengguna Malaysia yang menggunakan fungsi carian TikTok Shop untuk tujuan penemuan dan pembelian,” katanya.

Semua PKS yang mengambil bahagian dalam #JomLokal Booster Stimulus Package juga layak menggunakan mana-mana TikTok Shop LIVE Hub di seluruh Malaysia secara percuma sehingga 10 sesi setiap satu (dua jam setiap sesi).

Tempahan awal melalui akaun rasmi @stesenliveiks diperlukan dan tertakluk kepada ketersediaan berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Sejajar dengan matlamat menurunkan halangan penyertaan dalam e-dagang, TikTok Shop juga akan mempertingkatkan usaha peningkatan kemahiran PKS dengan menganjurkan siri sesi pendidikan dan latihan #JomLokal, termasuk bengkel Shoppertainment, acara matchmaking pencipta kandungan, dan webinar mingguan. - BERNAMA

standard