Tim Cook memberikan petanda harga jualan produk Apple tidak lagi dapat dielakkan dalam masa tedekat. Dalam temubual bersama Wall Street Journal, Cook berkata kenaikan harga kini “tidak dapat dielakkan” kerana kos memori dan storan yang juga meningkat mendadak. Sebelum ini Apple menyerap peningkatan kos tetapi ia kini tidak lagi mampan.
Impaknya dijangka akan dapat dilihat apabila siri iPhone 18 dilancarkan nanti dengan ia dijual pada harga lebih tinggi berbanding siri iPhone 17. Setakat ini Apple belum lagi menaikkan harga produk sedia ada berbeza dengan pengeluar lain. Sejak penghujung 2025, pengeluar seperti Lenovo, Samsung, Acer, Sony, Nintendo dan Valve telah mengemaskini harga produk mereka bagi menampung kos pengeluaran lebih tinggi.

Isu peningkatan kos memori mendatangkan kesan kepada semua pengeluar sejak tahun lalu. Permintaan yang tinggi oleh sektor pusat data kecerdasan buatan (AI) menyebabkan harga memori meningkat empat kali ganda.
Pengasas Nothing, Carl Pei mendedahkan kos RAM kini lebih mahal berbanding cip pemproses dan skrin telefon pintar. CEO Xbox Asha Sharma juga berkata peningkatan kos menyebabkan keuntungan divisyen permainan video Microsoft merosot. Pada waktu yang sama ia menyebabkan pendapatan syarikat memori seperti Samsung, Micron dan SK Hynix melonjak lebih tujuh kali ganda dengan pekerja menerima bonus luar biasa.
Krisis RAM hanya dijangka reda pada tahun 2028 dengan kilang fabrikasi memori baharu mula beroperasi. Yang menjadi persoalan ialah sama ada harga peranti kemudian akan dikurangkan semula apabila bekalan memori kembali normal.



