Timbalan CEO SSM didakwa lagi terima RM13,000 daripada usahawan teknologi

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 1:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khuzairi (dua dari kanan) berpakaian serba hitam, berpelitup muka dan mengenakan topi hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat, atas tiga pertuduhan menerima RM13,000 daripada seorang usahawan teknologi, lapan tahun lalu.

SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tiga pertuduhan menerima RM13,000 daripada seorang usahawan teknologi, lapan tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan) SSM, Khuzairi Yahaya, 55, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai seorang penjawat awam atas jawatan itu, menerima untuk diri sendiri wang tunai masing-masing RM2,000, RM3,000 dan RM8,000 daripada seorang CEO sebuah syarikat yang diketahui mempunyai hubungan dengan urusan rasmi tertuduh.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kota Damansara dan Mutiara Damansara di sini pada Julai dan Ogos 2017 serta Januari dan Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dibicarakan bersama-sama dengan pertuduhan lain.

“Saya juga mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin, mengguna pakai jumlah sama yang ditetapkan Hakim Mahkamah Sesyen di sana,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri.

Dalam kes ini, Khuzairi yang berpakaian serba hitam, berpelitup muka dan mengenakan topi diwakili peguam, Azamuddin Abd Aziz.

Awang Kerisnada kemudiannya membenarkan kes itu dipindahkan ke Kuala Lumpur dan menetapkan sebutan kes pada 20 April.

Pada Khamis, Khuzairi didakwa di Kuala Lumpur, atas satu pertuduhan menerima wang RM50,000 tanpa balasan daripada anak bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, lapan tahun lalu.