Timbalan MB Kelantan minta polis siasat tujuan sebenar perjumpaan di banglo

LocalPolitics
20 Jul 2025 • 12:25 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Kelantan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan menyeluruh berhubung serbuan ke atas satu perjumpaan di Kemumin, Kota Bharu bulan lalu bagi mengelak salah faham.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata beliau tidak mahu ada pihak menjadi mangsa salah faham, fitnah atau hukuman masyarakat sebelum kebenaran ditentukan.

Jelasnya, banyak pihak bertanya mengenai serbuan polis terhadap apa yang didakwa sebagai 'pesta seks sejenis' di sebuah banglo di Kemumin, Kelantan baru-baru ini.

"Timbul polemik termasuk membabitkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu tertentu yang menafikan berlaku pesta sebegitu.

"Jika terbukti siasatan dan tindakan pihak polis berasas dan benar, kita minta tindakan tegas diambil ke atas pihak terbabit.

"Jika dakwaan pihak NGO dan individu terbabit betul, tindakan untuk memperbetulkan keadaan perlu diambil. Prinsip keadilan mesti ditegakkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini lapor BH.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang bercadang menganjurkan program, khususnya yang boleh mengundang kontroversi atau kekeliruan, mendapatkan kebenaran pihak berkuasa yang berkaitan.

"Kegagalan mematuhi garis panduan dan prosedur boleh mencetuskan kesan tidak diingini serta mencemarkan keharmonian negeri.

"Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas segala tindakan tegas dan pantas dalam mencegah sebarang bentuk kemungkaran.

"Namun apabila timbul polemik begini, kita harap semua pihak berlapang dada. Kebenaran hendaklah diutamakan dan semua pihak perlu diberi hak mendapat keadilan secara berhikmah," katanya.

Semalam media melaporkan, Majlis AIDS Malaysia (MAC) berkata, pihaknya mengadakan sesi mendekati komuniti berisiko tinggi sebagai pencegahan HIV di sini pada 17 Jun lalu sebelum diserbu pihak polis.

Majlis jam 8 malam sehingga 2 pagi itu adalah pendekatan strategik diperkenalkan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perkhidmatan HIV lebih berkenaan, inklusif dan berpaksikan kepada komuniti.

Susulan kenyataan itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, menegaskan serbuan polis terhadap perjumpaan terbabit dibuat kerana pihak berkuasa mempunyai bukti kukuh.

Menurutnya ketika serbuan dijalankan, sebahagian besar individu telah meninggalkan lokasi dan hanya 20 lelaki berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam operasi itu, polis turut merampas ratusan kondom serta beberapa jenis ubat berkaitan HIV. - 20 Julai, 2025