Timbalan Menteri – Sistem Pengesahan Umur Media Sosial Akan Dimuktamadkan Pada Q2 2026

LocalTechnology
25 Feb 2026 • 3:22 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Isu melibatkan pengguna media sosial, khususnya golongan muda, tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Oleh itu, langkah sewajarnya perlu diambil bagi membendung masalah yang semakin ketara. Antara usaha yang sedang dirancang termasuklah pelaksanaan pengesahan umur di platform media sosial.

image is not available

Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal ini kerana kerajaan menjangkakan kaedah pengesahan umur tersebut akan dimuktamadkan pada suku kedua tahun ini melalui instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866). Langkah ini diharap dapat memastikan golongan muda lebih terlindung daripada kandungan yang tidak sesuai sekali gus memperkukuh keselamatan digital negara.

image is not available
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menjelaskan sistem pengesahan umur merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang boleh memudaratkan, selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 sejak 1 Januari lalu.

image is not available

Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menilai keberkesanan pelaksanaan sistem pengesahan umur dan identiti dengan mengambil kira aspek keselamatan akaun, perlindungan data peribadi serta kesesuaian dengan undang-undang sedia ada. Pada masa yang sama, MCMC turut melaksanakan ‘Regulatory Sandbox’ bersama penyedia platform media sosial bagi menilai pendekatan teknologi yang sesuai.

image is not available

Ujian tersebut melibatkan kaedah pengesahan umur, kesahihan identiti serta penggunaan AI untuk mengesan kandungan berisiko. Selepas penilaian selesai, tanggungjawab memastikan pengguna berumur bawah 16 tahun tidak menggunakan akaun media sosial akan diletakkan sepenuhnya kepada penyedia platform. Sekiranya gagal mematuhi peruntukan ini, mereka boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.

image is not available

Sejauh mana sistem ini akan berjaya masih menjadi persoalan. Malah, Discord sendiri baru-baru ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan sistem pengesahan umur secara global selepas menerima kritikan akibat salah faham dalam kalangan pengguna. Justeru itu, diharapkan agar kerajaan dapat menyediakan garis panduan yang lebih terperinci untuk memastikan pelaksanaannya kelak berjalan dengan baik dan jelas kepada semua pihak.