Timbalan Naib Canselor UiTM terima anugerah dari India

12 Jul 2024 • 3:47 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Suzana (kiri) menerima anugerah Top 50 Women in Education daripada Indira (duduk) dalam World Education Congress Awards 2024.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datin Dr Suzana Sulaiman dianugerahkan Top 50 Women in Education dalam World Education Congress Awards 2024 di Taj Land's End, Mumbai, India pada Khamis.

Menurut kenyataan media UiTM, Top 50 Women in Education adalah pengiktirafan kepada wanita yang telah menyumbang secara signifikan dalam bidang pendidikan melalui inovasi, dedikasi dan kepimpinan.

Selain itu, pengiktirafan tersebut juga sebagai bukti komitmen UiTM terhadap kecemerlangan akademik di peringkat antarabangsa sekali gus meningkatkan reputasi universiti di mata dunia.

UiTM berkata, penyampaian anugerah kepada Suzana telah disampaikan Pengasas Presiden FLAME, Pune dan Presiden Antardisha, Profesor Indira J Parikh di majlis berprestij tersebut.

image is not available
Suzana dijemput memberi syarahan pada World Education Congress sekali gus memperlihatkan pengaruh dan ketampakan UiTM dalam forum akademik antarabangsa.

Hadir sama kelompok peserta dari pelbagai negara termasuk India, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Amerika Syarikat, Uganda, United Kingdom, Malaysia, Bhutan, Jepun dan Qatar.

Berkongsi latar belakang wanita hebat ini, UiTM berkata, Suzana memiliki pengalaman mengajar lebih daripada 33 tahun.

Dengan lulusan akademik dari United Kingdom dan UiTM, beliau telah memberi pengaruh signifikan kepada landskap pendidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengiktirafan Suzana sebagai pakar dalam perakaunan pengurusan memberikan impak besar kepada sektor pendidikan di UiTM, Malaysia dan organisasi antarabangsa seperti The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).

Ia sekali gus membuktikan produk dari universiti ini bukan calang-calang.

Sementara itu, UiTM menjelaskan, mereka sentiasa memberi sumbangan dalam menyediakan pendidikan cemerlang yang diiktiraf kepada semua.

image is not available

"Universiti ini sentiasa menunjukkan keunggulan dalam bidang akademik, penyelidikan dan kolaborasi antarabangsa.

“Malah, UiTM berjaya memantapkan kedudukannya sebagai institusi terkemuka dalam pendidikan global,” akhiri kenyataan tersebut.