Timbalan PM Timor-Leste Lawat AFC, Bincang Bina Stadium Capai Piawaian Di Negara Sendiri

5 Dec 2023 • 5:26 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Kalbuadi Lay mengadakan lawatan ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di AFC House, Bukit Jalil hari ini.

Memetik laporan Bernama, ketibaan beliau ke Malaysia yang diiringi Duta Timor-Leste, Joana Veneranda Amaral disambut Setiausaha Agung AFC iaitu Datuk Seri Windsor Paul John.

Timor-Leste bincang bina stadium di negara sendiri

image is not available

Foto: Bernama

Lawatan selama 30 minit itu menyaksikan Kalbuadi Lay beramah mesra dengan Windsor yang juga merupakan kenalan lamanya disamping membincangkan keadaan semasa bola sepak antarabangsa dan Timor-Leste.

Dalam pertemuan singkat itu, Windsor berkata mereka telah membincangkan projek pembinaan stadium yang mencapai standard piawaian di Timor-Leste.

Projek ini merupakan antara projek terpenting untuk Timor-Leste dan akan membolehkan mereka menganjurkan perlawanan antarabangsa di laman sendiri.

image is not available

Foto: Bernama

“Jadi ia salah satu projek yang kita harap dapat dipenuhi secepat mungkin, itu salah satu daripada janji yang diberikan tadi, jadi kita harap projek ini akan dijalankan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Windsor juga berkata kedatangan Kalbuadi Lay itu seperti pulang ke rumah sendiri kerana beliau pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Timor-Leste dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC.

“Kita rasa beliau adalah seorang yang sangat minatkan bidang bola sepak, dengan beliau menjadi Naib Perdana Menteri kita harap lebih banyak bantuan akan diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Timor-Leste,” ujarnya.

Pertemuan singkat tersebut diakhiri dengan pertukaran cenderamata dan sesi bergambar sebelum Kalbuadi Lay meninggalkan AFC House.

image is not available

Foto: Bernama

Kalbuadi Lay kini dalam lawatan empat hari ke Malaysia bermula semalam dan dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Sumber: Bernama