Timbalan Presiden Kejuruteraan Perkakasan Apple Berhijrah Ke Rivian

TechnologyDigitalCars
29 Jan 2024 • 10:17 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Apple kehilangan seorang lagi eksekutif penting kepada pesaing. Menurut Bloomberg, DJ Novotney yang memegang jawatan Timbalan Presiden Kejuruteraan Perkakasan di Apple akan berhijrah ke Rivian. Beliau telah bertugas di Apple sejak 25 tahun yang lalu dan terlibat dengan pembangunan iPhone, iPad, AirPods, MacBook serta Project Titan yang merupakan usaha Cupertino membangunkan kereta elektrik pertama.

image is not available

Perpindahan beliau berlaku beberapa minggu selepas muncul berita Project Titan akan ditangguh ke 2028 pula, walaupun projek sudah dimulakan sejak 2014. Pelan Apple menghasilkan kereta elektrik dengan sistem swapandu berhadapan pelbagai rintangan seperti teknologi swapandu belum cukup matang, kehilangan rakan industri dan rahsia syarikat dicuri oleh bekas kakitangan.

Pelbagai syarikat teknologi kini menyedari dunia automotif tidak semudah yang disangka. Huawei dan Xiaomi bekerjasama dengan syarikat automotif sedia ada untuk merealisasikan kenderaan pertama mereka dalam tempoh hanya empat tahun. Apple menamatkan kerjasama dengan Kia Hyundai selepas rahsia mereka terbongkar beberapa tahun yang lalu.