Time Galerie kini milik penuh Marco selepas pengambilalihan baki pegangan 59.61% berharga RM37.56 juta
azan
17/11/2023 - 17:44
KUALA LUMPUR 17 Nov - Marco Holdings Berhad memeterai perjanjian jualan saham (SSA) bersama Giro Laksana Sdn. Bhd. dan Lim Siew Sooi bagi mengambil alih baki 59.61% kepentingan Time Galerie (M) Sdn. Bhd. berharga RM37.56 juta.
Kumpulan itu pada Disember 2018 telah memperoleh 40.39% kepentingan ekuiti dalam Time Galerie dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM26.65 juta.
Time Galerie merupakan rangkaian peruncit jam tangan terbesar di Malaysia dan mengendalikan lebih 50 cawangan di seluruh negara.
Cadangan pengambilaliahan kepentingan itu akan dipenuhi melalui dana yang dijana secara dalaman.
"Pertimbangan pembelian sebanyak RM37.56 juta itu adalah berdasar persetujuan bersama selepas mengambil kira bilangan kedai yang dimiliki Time Galerie, aset bersih dan purata keuntungan bersih selama tiga tahun dan prospek masa hadapan syarikat itu.
"Pengambilalihan itu perlu diselesaikan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SSA atau tarikh lain yang dipersetujui bersama," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Sejak menjadi syarikat bersekutu Marco, Time Galerie secara konsisten menjana keuntungan bersih yang sihat dan menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan itu.
Purata untung bersih bersih Time Galerie bagi tiga tahun kewangan yang lalu berakhir 31 Disember 2022 adalah kira-kira RM5.8 juta. Sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
"Lembaga pengarah percaya bahawa cadangan pengambilalihan itu akan memberikan mereka kedudukan yang lebih kukuh dalam segmen runcit untuk jam tangan dan jam, membolehkan mereka mengembangkan lagi perniagaan runcit yang akan melengkapkan perniagaan pengedaran semasa kumpulan untuk jam tangan dan jam," katanya. - DagangNews.com

