
JABATAN Kerja Raya (JKR) sedang mengambil langkah bagi menangani isu keselamatan akibat kekurangan pencahayaan di sebahagian Jalan Bongoon Kedondongan Ganang susulan kemalangan seorang warga emas dilanggar ketika berjalan pada waktu malam.
Dalam masa sama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah membaik pulih lampu jalan di beberapa kawasan termasuk Jalan Kolam, Jalan Tuaran serta kawasan berhampiran pusat komersial Luyang yang sebelum ini dilaporkan gelap beberapa minggu.
Jurucakap JKR berkata pemasangan lampu jalan akan dilaksanakan di lokasi strategik sepanjang laluan 916.6 meter di Jalan Bongoon Kedondongan Ganang selepas peruntukan diperoleh.
“Pegawai kami telah melakukan pemeriksaan di bahagian laluan antara persimpangan berhampiran ITCC hingga ke kawasan menuju Taman Digot bagi mengenal pasti lokasi sesuai untuk pemasangan lampu jalan,” katanya.
Menurutnya pihaknya dimaklumkan bahawa kemalangan melibatkan warga emas itu berlaku berhampiran simpang masuk ke kawasan perumahan tersebut.
Beliau berkata cadangan pemasangan lampu jalan jenis solar akan dikemukakan kepada pihak pengurusan tertinggi untuk pertimbangan lanjut.
“Pihak atasan akan menentukan kaedah terbaik untuk pelaksanaan projek ini,” katanya.
Sementara itu DBKK akan mempertingkatkan pemantauan terhadap sistem lampu awam di kawasan pentadbirannya.
Jurucakap Jabatan Kejuruteraan DBKK berkata pemeriksaan telah dilakukan di beberapa jalan terjejas sebaik sahaja pihaknya dihubungi media.
Beliau menyatakan satu masalah pada panel kawalan menyebabkan lampu di sepanjang median kira-kira satu kilometer di Jalan Kolam — antara persimpangan Jalan Kebajikan dan Jalan Maktab Sabah — tidak berfungsi.
“Bekalan kuasa kepada lampu didapati terputus (tripped).
“Kami percaya gangguan ini mungkin berpunca daripada cuaca tidak menentu yang dialami Kota Kinabalu sejak awal bulan ini,” jelasnya.
Beliau berkata pihak kontraktor telah mengambil tindakan dengan menetapkan semula (reset) sistem pada panel kawalan berkenaan.
“Selepas itu pekerja turut menggunakan kenderaan boom (sky-master) untuk memeriksa semula sama ada mentol dan lampu jalan berada dalam keadaan baik,” ujarnya.
Tambahnya juruteknik juga telah menguji lampu tersebut bagi memastikan tahap pencahayaan jalan adalah mencukupi pada waktu malam.
“Mereka juga kembali pada waktu siang untuk memastikan pemasa (timer) bagi kemudahan lampu jalan itu berfungsi seperti sepatutnya,” katanya.
Bagi kes di Jalan Tuaran, jurucakap berkata lebih 10 lampu di pembahagi jalan antara kawasan Tanah Perkuburan Batu 5 dan lampu isyarat berhampiran Likas Plaza didapati tidak berfungsi selepas meter elektrik bagi kemudahan tersebut mengalami kerosakan.
Beliau berkata median jalan itu meliputi jarak kira-kira 978.3 meter.
“Kami sedang bekerjasama dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) untuk menyelesaikan masalah meter ini.
“Pihak kami akan menindak lanjut perkara ini dengan syarikat berkenaan bagi memastikan bahagian Jalan Tuaran yang terjejas dapat diterangi semula secepat mungkin,” jelasnya.
Sementara itu bagi kawasan Damai Plaza, jurucakap berkata satu lagi pasukan juruteknik telah turun padang bagi membaiki mentol dan lampu jalan yang rosak di hadapan deretan kedai di Lorong Pokok Kayu Manis.
Ujarnya dua set komponen lampu berkenaan telah diganti dalam kerja-kerja pembaikan tersebut.
“Kerja pembaikan dilakukan di lokasi, dengan pekerja kontraktor turut menukar satu ballast 250-watt dan ignitor,” katanya.
Jurucakap menjelaskan bahawa “ballast” berfungsi mengawal arus elektrik ke lampu serta menyediakan voltan mencukupi untuk menghidupkan lampu jalan.
Sementara itu “ignitor” pula berfungsi sebagai pemula yang meningkatkan voltan awal bagi membolehkan lampu menyala, katanya.
Dalam pada itu DBKK berkata pihaknya memberi tumpuan utama terhadap keselamatan pengguna jalan raya di kawasan di bawah seliaannya di samping berusaha meningkatkan keselesaan pemandu.
Jurucakap berkata pihak kontraktor telah diarahkan supaya mempertingkatkan pemantauan terhadap jalan-jalan berkenaan bagi memastikan sistem pencahayaan berfungsi dengan baik pada waktu malam.
Ketika ditanya mengenai kekerapan penyelenggaraan lampu jalan, beliau berkata tiada jadual tetap ditetapkan.
“Semua kemudahan ini diselenggara apabila perlu,” katanya.
