
Kota Kinabalu: Keputusan empat penghantar makanan Grab untuk berhenti dan membantu seorang warga emas yang terjatuh di atas jalan raya di bawah jejambat Lido pada Sabtu lalu mendapat pujian netizen.
Penghantar Grab Mohd Sazwandi Sumarti, 26, memuat naik rakaman video berdurasi 2 minit 55 saat kejadian itu di Facebook.
Sazwan berharap video itu memberi impak positif kepada orang lain. Katanya, dia dalam perjalanan menghantar makanan dari Lintas ke Cybercity apabila melihat seorang warga emas mengalami kesukaran melintas jalan.
“Saya membuat pusingan U untuk memerhatikan ‘pakcik’ itu dari jauh dan nampak dia dalam keadaan tidak keruan dan cuba berundur.
“Dia kemudian terjatuh dan nyaris dilanggar sebuah van yang kebetulan melalui jalan itu,” katanya, Ahad.
Dia yang mesra dipanggil Odi, kemudian bergegas ke arah “pak cik” itu dan cuba membangunkannya. Dia kemudian disertai oleh tiga rakan sekerjanya.
“Kami mendapat tahu dia dari Klinik Luyang dan mahu pulang ke rumahnya di Tg Aru lama.
“Saya lihat ada tiub air kencing terselit dalam poket dan darah mengalir dari mulutnya akibat terjatuh,” katanya.
Odi berkata, keempat-empat mereka memutuskan untuk menghubungi ambulans kerana tidak mahu meninggalkan “pak cik” itu tanpa pengawasan selain bimbang jika berlaku kecederaan dalaman.
“‘Pak cik’ itu berkata dia kehilangan kad pengenalan dan hanya mempunyai kad perubatan bersamanya. Dia juga berkata dia terpaksa berjalan kerana semua anaknya bekerja.
“Saya harap video yang saya muat naik ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran orang ramai apabila perkara sebegini berlaku dan menghulurkan bantuan,” katanya.
Odi berharap sesiapa yang mengenali individu itu pergi ke hospital Queen Elizabeth.
Video yang dimuat naik di media sosial pada Sabtu lalu itu telah dikongsi lebih 3,000 kali dan mendapat 4,500 tontonan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

