
KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau menghargai keputusan tiga bekas wakil rakyat Parti Warisan untuk menyokong Kerajaan Negeri pimpinannya.
“Saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana mengambil keputusan menyokong Kerajaan Negeri pimpinan saya,” katanya ketika ditanya mengenai ketiga-tiga mereka selepas menghadiri Malam Anugerah Kumpulan Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada 7 Februari.
Beliau merujuk kepada Adun Kunak Norazlinah Arif, Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong (Tanjong Kapor) yang meninggalkan Warisan pada Isnin untuk menjadi Adun Bebas dan menyokong Kerajaan Negeri pimpinannya.
Ditanya sama ada mereka akan dijemput menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata:
“Kami akan menunggu apa sahaja keputusan yang akan mereka buat nanti untuk diri mereka sendiri dan masa depan mereka dalam politik.”
Dalam satu kenyataan bersama, Norazlinah, Mohammad dan Ben berkata, langkah mereka diambil selepas meneliti dan mempertimbangkan aspek dari semua sudut termasuk hala tuju situasi politik di Sabah dan pandangan akar umbi di kawasan yang mereka wakili.
“Kami berpendapat sudah tiba masanya untuk menghentikan polemik dalam politik atau tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada Kerajaan kerana ini akan menjejaskan usaha membangunkan negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” kata Norazlinah dalam satu video.
“Kami akan bekerjasama dengan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri untuk meneruskan momentum positif pembangunan negeri dan meningkatkan hasil melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Kami juga berazam untuk terus fokus dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat di kawasan kami khususnya dan Sabah dan Malaysia amnya.”
Dalam rakaman video yang dihantar melalui WhatsApp kepada Daily Express, Norazlinah turut berkata: “Saya tidak lagi mahu menghabiskan masa dan tenaga untuk bertengkar sesama sendiri dan memutuskan untuk fokus memperjuangkan ‘Keluarga Kunak’ yang saya wakili.”
Norazlinah berkata mereka berharap dapat meneruskan perkhidmatan mereka untuk pengundi mereka.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih dan memohon maaf kepada Presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), rakan-rakan dan penyokong parti. Seiring dengan keputusan kami, kami melepaskan semua jawatan dalam parti, sama ada di peringkat bahagian atau di Majlis Tertinggi,” kata Norazlinah, yang merupakan Ketua Wanita Warisan, manakala kedua-dua Mohammad dan Ben adalah ahli Majlis Tertinggi.
Sementara itu, ditanya mengenai banjir baru-baru ini, Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan melakukan yang terbaik untuk membantu mereka yang terjejas.
Beliau berkata banjir turut merosakkan infrastruktur awam di kawasan terbabit di Beaufort, Sipitang, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Keningau, Beluran dan Lahad Datu, mengakibatkan ribuan orang terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Sekurang-kurangnya 49 sekolah turut terjejas termasuk di Beaufort, Beluran, Kota Marudu, Kudat, Lahad Datu, Pitas dan Sipitang.
Sementara itu, 95 peratus daripada 17 inisiatif Rancangan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah Kumpulan Yayasan Sabah telah berjaya dilaksanakan.
Terdahulu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, 17 inisiatif itu dilancarkan pada 2022 yang melibatkan dua teras dalam SMJ iaitu modal insan dan kelestarian hijau.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat kami banggakan dan tahniah kepada semua ahli Kumpulan Yayasan Sabah yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif tersebut. Sebagai jentera strategik Kerajaan Negeri, Kumpulan Yayasan Sabah perlu terus memacu pelbagai program selaras dengan hala tuju SMJ. Namun, usaha itu masih belum berakhir.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

