
Kota Kinabalu: Tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang mengumumkan akan meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah keputusannya sendiri dan tiada kaitan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Setiausaha Eksekutif GRS Mohamed Razali Razi.
Beliau berkata, memandangkan KDM bukan komponen GRS, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai kuasa untuk menghalang atau menafikan KDM daripada bertanding di mana-mana kerusi parlimen semasa PRU15, termasuk yang akan ditandingi oleh komponen GRS mahupun Barisan Nasional (BN).
“Tindakan KDM tidak melanggar atau membelakangi GRS, selaras dengan prinsip demokrasi kerana KDM bukan sebahagian daripada GRS.
“Perlu diingat bahawa KDM mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen yang berkemungkinan ditandingi BN dan GRS,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu. Beliau berkata GRS kini sedang menumpukan segala gerak kerja untuk mempersiapkan jentera pilihan raya di semua kawasan parlimen.
“Kerjasama antara GRS dan BN menjadi keutamaan dan akan terus diperkukuh di setiap peringkat dan semua kawasan parlimen bagi memastikan kemenangan pada PRU15,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor digesa menyatakan pendiriannya berhubung tindakan KDM bertanding mencabar BN dan GRS.
Setiausaha BN Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata ini perlu bagi mengelak kekeliruan rakyat mengenai pendirian GRS berhubung kerjasama dengan parti mesra Kerajaan GRS-BN.
“Seperti yang kita tahu, KDM telah menyatakan sokongan, malah pernah memohon untuk menyertai GRS, tetapi pada masa yang sama, KDM sudah pun mengumumkan beberapa calon yang akan mencabar calon BN dan GRS pada PRU15...ini sangat mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.
Justeru, Jafry yang juga Setiausaha Umno Sabah berkata Hajiji selaku Pengerusi GRS perlu menjelaskan perkara itu sepenuhnya.
Pada Selasa, KDM mengumumkan akan bertanding empat kerusi parlimen pada PRU15. Presidennya Datuk Peter Anthony dipetik sebagai berkata parti itu akan bertanding di Kimanis, Sepanggar, Kota Kinabalu dan Kota Marudu.
Mengenai kedudukan KDM dalam GRS, Peter berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas terhadap permohonannya untuk menyertai gabungan itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
