KUALA TERENGGANU – Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil di sini daripada musnah dijilat api dalam kebakaran pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, ketika kejadian jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu serta BBP Jalan Kota sedang mengendalikan kes di lokasi lain.
Menurutnya, pihak bomba menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 7.55 malam sebelum dimaklumkan bahawa api telah berjaya dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian.
"Tindakan pantas komuniti setempat berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh hanya 10 minit sebelum pasukan penyelamat tiba.
"Sebaik sahaja selesai kes berkenaan, jentera BBP Jalan Kota segera bergerak ke lokasi (tanah perkuburan). Bagaimanapun, pihak bomba menerima makluman bahawa api telah berjaya dipadamkan oleh orang awam," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai punca kejadian, Thoyyibah tidak menolak kemungkinan faktor cuaca panas, rumput kering, puntung rokok atau faktor semula jadi yang menyumbang kepada kejadian tersebut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku dalam keadaan cuaca panas ketika ini.
"Masyarakat diminta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka sama ada bagi tujuan pertanian mahupun pembersihan, selain memastikan kawasan sekitar dibersihkan daripada rumput-rumput kering.
"Kita juga menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun di kawasan kediaman, perumahan atau premis bagi mengurangkan risiko kebakaran," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna agar sentiasa menyelenggara sistem penyaman udara di kediaman masing-masing bagi mengelak kerosakan akibat penggunaan yang berlebihan akibat suhu yang tinggi.


