Tindakan Rafizi saman Ramanan cubaan larikan diri tunjuk bukti

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 4:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tindakan Rafizi saman Ramanan cubaan larikan diri tunjuk bukti

PUTRAJAYA – Tindakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyaman Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan atas kenyataan fitnah dianggap sebagai tindakan mengalihkan perhatian umum berbanding mengemukakan bukti atas dakwaan dibuat sebelum ini.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, tindakan seperti itu dilihat sebagai seorang politikus yang mahu melarikan diri daripada isu sebenar iaitu mengemukakan bukti yang sahih atas dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan beliau.

“Bagi saya, Rafizi tidak boleh hanya berani membuat dakwaan, tetapi apabila diminta menjelaskan dan mengemukakan bukti, isu itu bertukar menjadi pertikaian undang-undang dengan pihak yang mempersoalkan beliau.

“Saya mahu tegaskan, saman-menyaman itu hak beliau. Tetapi jangan sampai tindakan mahkamah dijadikan isu yang tenggelamkan persoalan asal.

“Rakyat nak tahu, apa asas kepada dakwaan yang dibuat sebelum ini? Kalau ada bukti, kemukakan bukti. Kalau ada fakta, bentangkan fakta. Jangan biarkan rakyat terus tertanya-tanya,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Rafizi mengarahkan pasukan peguamnya memulakan tindakan saman terhadap Ramanan berikutan kenyataan berunsur fitnah.

Rafizi turut mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen atas dakwaan membuat kenyataan tidak benar di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, Rafizi bukan orang baharu dalam politik dan beliau pernah menjadi Menteri Ekonomi.

“Jadi, standard yang sama mesti terpakai kepada dirinya sendiri. Jangan hanya lantang menuntut orang lain menjawab persoalan, tetapi apabila diri sendiri dipersoalkan, rakyat pula dibiarkan menunggu penjelasan.

“Politik bukan soal siapa paling petah bercakap atau siapa paling cepat membawa isu ke mahkamah, tetapi ia soal tanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dibuat kepada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Dzul Hilmi berkata, beliau tidak mahu mendahului mahkamah atau membuat tuduhan yang belum dibuktikan.

“Kalau benar dakwaan itu berasas, jelaskan. Kalau tidak, berilah penjelasan yang meyakinkan. Jangan biarkan persepsi bahawa beliau hanya berani menyerang orang lain, tetapi sukar menerima apabila dirinya sendiri dipersoalkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tindakan Rafizi saman Ramanan cubaan larikan diri tunjuk bukti appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved