
PAPAR: Tindakan tegas diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas stesen minyak sekiranya terdapat sebarang aduan ketirisan berkaitan subsidi bersasar Budi Madani Ron95 (Budi95).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata bagaimanapun pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi ketika ini mengenai manipulasi sistem subsidi Budi95 terbabit.
“Kita di kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika didapati ada pihak melakukan perkara seumpama itu.
“Hal ini kerana penyasaran subsidi petrol atau diesel ini fokus utamanya bukan untuk mengurangkan subsidi rakyat tapi mengekang ketirisan.
“Sekiranya masih ada pihak yang mengambil kesempatan melalui penyaluran subsidi kepada rakyat ini KPDN tidak teragak-agak ambil tindakan tegas,” katanya ketika sidang media sempena Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Bagi Pembangunan Pawagam Komuniti 10 Star Cinemas Bersama WSG Properties dan WK Konsortium bertempat di Palm Mall Kinarut pada Sabtu.
Mengulas lanjut Armizan menyatakan kerajaan memandang serius segala cubaan memanipulasi barangan subsidi untuk rakyat.
“Oleh itu kita bersama Kementerian Kewangan (MOF) mempunyai sistem waktu nyata untuk tujuan pemantauan,” Katanya.
Sementara itu Armizan menyatakan pelaburan 10 Star Cinemas di Sabah bukan sekadar perniagaan berorientasikan komersil semata-mata malah membantu Pembangunan sosio-ekonomi rakyat.
“Selain menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan, 10 Star Cinemas juga hadir sebagai rakan strategik membangunkan industri kreatif di Sabah.
“Ini sejajar dengan Program Aspirasi Pembangunan Filem Sabah (APFS) 2026/2027 yang mereka gagaskan yang memberi fokus kepada dua elemen penting iaitu pembangunan infra pawagam dan pembangunan karya muda.

![[VIDEO] Ifa Raziah bengang tak dapat subsidi Budi Madani RON95](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)
