
Tindakan Tegas Terhadap Pegawai JPJ Memotong Di Garisan Berkembar
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengesahkan tindakan tegas telah diambil serta merta terhadap anggota JPJ yang tular memandu dengan cara tidak wajar pada 9 Julai di Simpang Pulai, Perak.
Menerusi kenyataan media Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli yang dimuat naik di laman Facebook jabatan berkenaan, pihak JPJ telah menerima laporan awam video yang tular di media sosial tersebut.
“Pihak JPJ Malaysia memandang serius berkaitan kejadian tersebut dan tindakan tegas secara serta merta telah dikeluarkan kepada anggota JPJ yang terlibat dengan tindakan seperti berikut.
“Pengeluaran notis saman kepada anggota yang memandu atas kesalahan memotong di garisan berkembar, larangan memandu kenderaan Jabatan dan arahan menggantung tugas serta menempatkan anggota yang terlibat ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai,” maklum beliau.
Beliau turut berkata, langkah susulan juga telah diambil bagi melaksanakan siasatan lanjut berkaitan kesalahan lain anggota berkenaan.
“Pihak JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan Jabatan ini yang melakukan kesalahan lalu lintas,” tegas beliau.
Sehubungan dengan itu, pihaknya menzahirkan penghargaan terhadap tindakan orang awam yang merakam kesalahan pengguna jalan raya lain.
Pihak JPJ turut mengalu-alukan aduan orang awam dalam melaporkan aduan perlanggaran peraturan jalan raya oleh pengguna jalan raya yang lain secara terus menerusi Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau dengan menghantar emel ke aduantrafik@jpj.gov.my dengan butiran lengkap aduan.


The post Tindakan Tegas Terhadap Pegawai JPJ Memotong Di Garisan Berkembar appeared first on Siakap Keli.

