
KUALA LUMPUR: Hanya 52 daripada 10,259 sekolah di seluruh negara masih belum mendapat liputan rangkaian 4G, dengan kadar liputan keseluruhan kini mencapai 99.5 peratus.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan komited memastikan semua sekolah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, menikmati capaian Internet yang stabil serta berkualiti bagi menyokong agenda pendidikan digital negara.
Beliau berkata, berdasarkan data semasa, sebanyak 10,207 sekolah di seluruh negara telah mempunyai liputan rangkaian 4G.
“Berdasarkan data semasa, daripada 10,259 buah sekolah di seluruh negara sebanyak 10,207 telah mempunyai liputan rangkaian 4G, iaitu bersamaan 99.5 peratus kadar liputan.
“Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau dan memperkukuh penyediaan infrastruktur komunikasi bagi memastikan baki sekolah yang belum mendapat liputan turut diberi perhatian ke arah mencapai kesalinghubungan digital yang menyeluruh,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai dasar kementerian bagi memastikan sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar, mempunyai sambungan internet yang memenuhi Piawaian Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).
Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan memainkan peranan saling melengkapi dalam menyediakan sambungan internet ke sekolah.
Katanya, Walaupun Kementerian Komunikasi bertanggungjawab menyediakan infrastruktur komunikasi berkelajuan tinggi, perolehan dan langganan perkhidmatan internet untuk sekolah diuruskan sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran.
“Kami hanya boleh menyediakan sambungan internet sehingga ke pintu pagar sekolah. Di dalam kawasan sekolah, terpulang kepada pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan untuk membuat keputusan.
“Melalui inisiatif Point of Presence (PoP), kami telah menjadikan perkhidmatan internet sangat berpatutan, menawarkan kelajuan 1,000Mbps, atau 1Gbps, pada harga serendah RM49.
“Walau bagaimanapun, sama ada sekolah tertentu melanggan perkhidmatan tersebut bukanlah perkara yang perlu dijawab oleh Kementerian Komunikasi,” katanya.
Dalam soalan tambahan, Zaliha membangkitkan kebimbangan mengenai aduan berterusan tentang sambungan internet yang lemah di sekolah, terutamanya apabila beberapa bilik darjah mengakses internet secara serentak.
Fahmi berkata, satu jawatankuasa bersama yang terdiri daripada wakil daripada kedua-dua kementerian dan SKMM telah ditubuhkan di bawah projek PoP untuk menangani isu-isu ketersambungan.
Beliau mengakui perlunya kerjasama yang lebih erat, terutamanya dalam menangani kekurangan pusat akses internet yang mencukupi di dalam kawasan sekolah.
“Kadangkala, sesebuah sekolah hanya disediakan dengan satu atau dua pusat akses sedangkan ia mungkin memerlukan lebih banyak lagi.
“Jika terdapat sekolah yang menghadapi masalah sedemikian, ahli parlimen boleh memaklumkan kepada kami supaya kami dapat bekerjasama untuk menyelesaikannya,” katanya. – UTUSAN
The post Tinggal 52 sekolah belum dapat liputan 4G appeared first on Utusan Malaysia.


