
MAKKAH - Biarpun terpaksa meninggalkan keluarga dan menutup perniagaan lebih dua bulan namun tidak menghalang dua pemilik kedai makan mengejar keberkatan dengan menyantuni duyufurrahman (tetamu Allah) untuk musim haji tahun ini.
Bagi Anas Ahmad, 35, dan Ismadi Sulaiman, 47, kesempatan bertugas menyediakan juadah untuk jemaah haji diibaratkan rezeki yang tidak harus dilepaskan kerana tidak semua memperoleh peluang keemasan itu.
"Ini tahun kedua saya berpeluang bertugas di Makkah. Tahun lepas saya di sini juga sebagai tukang masak. Alhamdulillah tahun ini diberi tanggungjawab sebagai ketua tukang masak.
"Apa yang membuatkan saya ada keinginan untuk kembali kerana jemaah ini tetamu VVIP jemputan Allah, jadi ibadah untuk saya juga.
"Kalau nak sedekah wang ringgit saya tidak mampu kerana saya hanya ada kemahiran dan tenaga untuk diberi kepada jemaah haji," kata Anas kepada pengamal media ketika ditemui di dapur penyediaan makanan untuk jemaah haji Malaysia di sini.
Beliau yang mempunyai kedai makan ala Barat di Perlis tidak kesal walaupun terpaksa menutup kedainya selama dua bulan kerana yakin soal rezeki ditentukan Ilahi malah merasakan rezekinya sentiasa mencukupi selepas bertugas di Tanah Suci musim haji tahun lepas.
"Kalau dulu saya kerja 12 jam (di kedai makan) tetapi sekarang saya berniaga hanya kerja empat jam. Seronok sebab walaupun singkat tetapi cukup. Pulangan itu tidak banyak tetapi memang cukup untuk menampung keperluan kami sekeluarga," katanya.
Mengulas cabaran sebagai ketua tukang masak, Anas berkata, selain masalah komunikasi beliau juga terpaksa bijak menggunakan sumber bahan rencah yang terhad dan pada masa yang sama perlu memastikan kualiti serta rasa makanan menepati cita rasa jemaah.
"Bagi saya menu yang mencabar adalah menu yang banyak rencah, contohnya yang memerlukan serai, lengkuas kerana bahan itu agak susah nak dapat di sini...macam halia, lengkuas kadang-kadang kita terpaksa catu, jadi untuk dapatkan rasa (macam masakan di tanah air) itu agak susahlah," katanya.
Selain itu, menurut Anas kemahirannya selama 15 tahun sebagai tukang masak akan teruji semasa di Arafah dan Mina kerana tempat penyediaan makanan yang terhad namun terpaksa memasak dalam masa ditetapkan.
Bagi Ismadi yang berpengalaman dalam bidang perhotelan selama 10 tahun dan mempunyai kedai makan sendiri di Puchong, beliau memohon menjadi petugas musim haji kali ini kerana mahu menyahut cabaran.
"Saya tidak pernah jauh dengan keluarga tetapi saya sudah berniat datang di sini untuk berjihad. Apa sahaja niat kita buat, insya-Allah akan dipermudah. Saya tutup perniagaan di Taman Putra Perdana, Puchong selama 60 hari, saya tak takut rugi kerana rezeki Allah yang bagi," katanya.
Ismadi dan Anas antara 20 tukang masak yang dibawa khas dari Malaysia untuk bertugas di lapan buah dapur di syarikat penyediaan makanan yang dilantik oleh Lembaga Haji Malaysia (TH) bagi menyediakan hidangan tengah hari dan malam untuk jemaah haji Malaysia musim 1445H/2024. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
