Tingkat penguatkuasaan sempadan laut, darat, laluan 'tikus' seludup barang subsidi sempena Aidiladha

LocalPolitics
26 May 2026 • 12:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tingkat penguatkuasaan sempadan laut, darat, laluan 'tikus' seludup barang subsidi sempena Aidiladha
Mohd Yusri

SHAH ALAM - Rondaan sempadan darat dan laut, sekatan jalan raya selain menumpukan laluan 'tikus' yang digunakan sindiket menjadi fokus kesiapsiagaan dalam mengekang kegiatan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi pada musim perayaan Aidiladha.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyalahgunaan barang bersubsidi.

Menurutnya, ini kerana tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"PGA terus memperkukuhkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan di kawasan sempadan darat negara dengan memberi fokus khusus kepada sempadan Malaysia–Thailand di Semenanjung Malaysia serta sempadan Malaysia–Indonesia di Sabah dan Sarawak.

"Melalui pelaksanaan Op Taring, Op Tiris, rondaan sempadan, sekatan jalan raya serta risikan berterusan, PGA memberi tumpuan kepada laluan panas dan laluan tidak sah atau ‘laluan tikus’ yang sering digunakan sindiket penyeludupan bagi membawa keluar barangan bersubsidi seperti diesel, petrol, minyak masak, gula dan barangan kawalan lain ke negara jiran.

"Pada masa sama, PPM sentiasa memperketatkan kawalan keselamatan serta meningkatkan rondaan di kawasan perairan dan sempadan lautan negara sempena musim perayaan serta cuti panjang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, penugasan PPM memberi tumpuan kepada pemantauan laluan laut, pemeriksaan ke atas bot dan vesel mencurigakan serta pengawasan kawasan perairan berisiko tinggi yang sering menjadi laluan sindiket rentas sempadan.

Tambahnya, sempena musim perayaan Aidiladha serta cuti panjang, JKDNKA sentiasa mempertingkat tahap kesiapsiagaan dan memperkukuhkan operasi penguatkuasaan di seluruh kawasan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan penyeludupan, khususnya melibatkan barangan bersubsidi dan barangan kawalan yang boleh menjejaskan kepentingan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

"Pendekatan penguatkuasaan secara agresif, bersepadu dan berasaskan risikan yang dilaksanakan bersama agensi penguatkuasaan lain melalui Op Tiris dan operasi-operasi khas berkaitan diyakini mampu membendung ketirisan subsidi negara.

"Ini juga memastikan bekalan barangan keperluan kekal mencukupi untuk rakyat sepanjang musim perayaan," ujarnya.

Kata beliau, selain itu, Ops Tiris terus dilaksanakan secara berterusan di seluruh perairan negara bagi membanteras dan mengekang aktiviti penyeludupan serta ketirisan bahan api bersubsidi.

"Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan lain dalam menutup ruang jenayah rentas sempadan dan melindungi hasil serta subsidi negara daripada dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Tegasnya, pada masa sama, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan amat dihargai dan menjadi elemen penting dalam memastikan keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara sentiasa terpelihara.

View Original Article