Tingkatkan Penguasaan Al Quran, Gali Hikmah Untuk Jawab Persoalan - PM

LocalPolitics
28 Apr 2025 • 9:30 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri (kiri) menyantuni barisan tetamu yang hadir pada Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah | 2025 Masihi di Perlis malam tadi - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Penguasaan Al Quran sebagai asas untuk mengangkat maruah umat Islam perlu dipertingkat dan hikmahnya harus sentiasa digali bagi menjawab pelbagai persoalan serta cabaran zaman pasca normal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, zaman ini menyaksikan semua kebenaran dan hak dianggap relatif, justeru usaha agresif perlu dilakukan agar Al Quran dikuasai dengan baik. 

Menurut beliau, umat Islam yang berkemampuan dan golongan asatizah perlu bersama memupuk kesedaran baharu dalam kalangan umat. 

“Kita harus mencabar minda umat melalui taffaquh fiddin yang segar bagi menghadapi kondisi 'malaise' yakni keletihan jiwa yang menuntut jawapan berasaskan kekuatan ilmu dan keutuhan nilai. 

“Tantangan kita adalah sejauh mana umat mampu membina kekuatan berasaskan 'Din' (agama) kepada Madinah (kota) dan seterusnya tamadun dalam membangun negara MADANI,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Perdana Menteri terdahulu menghadiri Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah | 2025 Masihi di Perlis malam tadi. 

image is not available
Gambar PMO

Beliau menerusi hantaran sama memberitahu, turut berkongsi kisah pengalaman pendakwah di Alam Melayu seperti yabg direkodkan Babad Tanah Jawi.

“Saya turut singgung mengenai peranan unik Wali Songo serta catatan Ibnu Battutah di Perlak, yang menzahirkan kepentingan pendekatan dakwah penuh hikmah dalam menyampaikan esensi Islam secara tasamuh agar umat tidak berpecah dan bermusuh,” katanya. 

Jelas Anwar, umar Islam meletakkan pengharapan yang tinggi untuk golongan pemimpin melakukan pembaharuan, dalam berdepan cabaran semasa yang semakin rumit dan rencam sama ada di dalam atau luar negara. 

“Makanya kita perlu membina kekuatan dalaman, bukan sekadar kekuatan akidah dan akhlak, bahkan daya tahan dalam pengurusan ekonomi dan tatakelola kerajaan di semua bidang. 

“Insya-Allah, kita akan terus berusaha dan berikhtiar memperkukuh taffaquh fiddin dan penguasaan pelbagai bidang agar hasrat membangun umat dan negara dapat dicapai di atas landasan prinsip luhur dan akhlak yang benar,” katanya. - Getaran, 28 April 2025

View Original Article