Tiong kesal isu alkohol cetus kekeliruan, tetap tegaskan majlis bukan acara rasmi kerajaan

LocalPolitics
9 Oct 2025 • 11:53 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meluahkan rasa kesal terhadap kekeliruan dan salah faham yang timbul susulan dakwaan hidangan arak dalam satu majlis makan malam bersama penggiat industri pelancongan luar negara baru-baru ini.

Isu alkohol cetus kekeliruan dan salah faham

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, pihaknya amat mengambil berat pandangan rakyat berhubung isu berkenaan dan menegaskan bahawa majlis tersebut bukan acara rasmi kerajaan.

“Saya dan MOTAC menyesali sebarang kekeliruan dan salah faham yang menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan rakyat. Sekali lagi, kesulitan amat dikesali,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

image is not available

Dakwa acara dianjur pihak swasta namun cetus kekeliruan

King Sing berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai penganjuran majlis berkenaan.

Beliau menjelaskan, majlis makan malam itu dianjurkan sepenuhnya oleh pihak swasta dan dihadiri kira-kira 600 penggiat industri pelancongan luar negara sebagai sebahagian usaha mempromosikan sektor pelancongan Malaysia.

“Penggiat pelancongan ambil alih cuma persiapan, ini tidak lagi jadi makan malam rasmi. Cuma logo kita,” jelas beliau.

image is not available

Malah, majlis tersebut berjaya memeterai potensi jualan pelancongan bernilai RM100 juta, sekali gus menunjukkan hasil positif kepada industri pelancongan negara.

Tambahnya, majlis berkenaan tidak tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan 3/2003 kerana ia bukan acara rasmi kerajaan.

“Saya tekankan majlis makan malam itu bukan rasmi tapi anjuran swasta, oleh itu pekeliling perkhidmatan 3/2003 tidak terpakai dan isu berkaitan arak tidak sepatutnya timbul,” tegasnya.

image is not available

Artikel lain: PM Anwar beri amaran keras ke MOTAC, Tiong enggan ulas isu -“Aku sudah jawab, cukuplah”

Tiong dalam masa sama berharap agar rakyat tidak terus salah faham, sebaliknya memahami konteks sebenar penganjuran majlis tersebut yang bertujuan memajukan pelancongan negara, bukannya mewakili dasar rasmi kerajaan.

Sumber: Malaysia Gazette (Muhammad Azizul Osman)