TIPS: 7 cara mudah kawal bil elektrik di rumah

3 Jul 2022 • 12:58 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Jika anda runsing dengan kos bil elektrik yang mahal pada setiap bulan, maka tibalah masa untuk anda mengawal penggunaan perkakas elektrik dirumah. Tidak dinafikan, jika ada ramai individu di dalam rumah anda, sudah tentu banyak kuasa elektrik yang akan digunakan. Contohnya, penggunaan lampu dan penghawa dingin pada setiap bilik, TV, seterika baju, peti ais serta mesin penapis air. Oleh itu, bagi mengawal kos bil elektrik, berikut merupakan 7 langkah yang boleh anda lakukan di rumah.

1. Pilih mentol LED

Lampu LED adalah sehingga 80% lebih cekap daripada lampu lain seperti Pendarfluor. Hanya 5% daripada tenaga hilang sebagai haba, 95% ditukar kepada cahaya. Tapi sebaliknya pula pada lampu pendarfluor. Lampu LED menggunakan kuasa yang kurang, jadi lampu Pendarfluor yang gunakan 84 watt kuasa bolehlah digantikan dengan lampu LED 36 watt. Lampu LED juga tahan 6 kali ganda lebih lama berbanding lampu tradisional.

2. Cabut atau matikan palam apabila tidak digunakan

Anda tahu tak, wayar pengecas telefon atau laptop masih mengalirkan elektrik apabila ia dibiarkan bersambung di soket yang hidup, walaupun anda tak gunakannya? Jadi, amalan yang baik untuk dilakukan adalah cabut atau matikan soket di semua peralatan elektrik apabila ia tidak digunakan. Sesetengah individu dapati bahawa mempraktikkan perkara ini telah menjimatkan sehingga 50% bil elektrik mereka pada setiap bulan.

3. Servis penghawa dingin

Pastikan penghawa dingin anda sentiasa diservis. Ini akan memastikan ia berjalan dengan cekap dan seterusnya, bilik atau rumah anda akan menjadi lebih sejuk dengan lebih cepat. Ia secara tidak langsung akan mengurangkan penggunaan elektrik. Anda boleh juga bersihkan penapis dengan sendiri pada setiap beberapa bulan. Membersih atau menggantikan penapis yang tersumbat boleh mengurangkan antara 5% sehingga 15% daripada penggunaan tenaga elektrik.

image is not available

4. Pasang suis pemasa (Plug-In Timer Switch)

Plug-In Timer Switch merupakan alternatif baik untuk menjimatkan elektrik. Contohnya, kalau anda atau anak anda takut gelap dan perlu ditemani lampu meja ketika tidur, maka anda perlukan peranti ini. Dengannya, anda boleh tetapkan pemasa untuk lampu anda dimatikan secara automatik, jadi ia tidaklah digunakan sepanjang malam.

5. Kawal penggunaan mesin basuh

Untuk jimat elektrik, pastikan anda penuhkan mesin basuh ketika gunakannya. Rendam mana-mana pakaian yang sangat kotor sebelum masukkannya ke dalam mesin supaya anda tidak perlu melakukan pusingan tambahan. Guna air sejuk jika anda mempunyai pilihan suhu air pada mesin basuh. Gunakan juga ciri penjimatan tenaga jika mesin anda mempunyainya.

6. Tukar kepada kuasa solar

Untuk cari perkakas elektrik yang gunakan kuasa solar, anda hanya perlu log masuk ke dalam laman web membeli-belah dan tulis kata kunci solar. Ada banyak perkakas elektrik yang anda boleh jumpa contohnya lampu luar berkuasa solar, kipas dan bank kuasa. Jika anda sanggup berbelanja lebih sedikit, bolehlah anda dapatkan panel suria sebenar yang boleh menjana elektrik.

7. Tetapkan suhu yang sesuai untuk peti sejuk

Kekalkan suhu peti sejuk pada atau di bawah 4° C untuk membolehkan ia berfungsi pada kecekapan yang baik dan mengurangkan jumlah tenaga elektrik yang dibelanjakan. Bagi peti sejuk beku pula, suhu yang disyorkan ialah 0°C.

Dengan lakukan tips di atas, tentunya ia boleh berikan perubahan pada jumlah bil elektrik bulanan anda yang perlu dibayar. Oleh itu, gunakan tenaga elektrik dengan bijak dan kawal penggunaannya dengan baik.

[Sumber: iProperty]