Tips Menarik Minat Anak Suka Membaca

Family & Parenting
6 Aug 2024 • 10:30 AM MYT
Sue Oshin
Sue Oshin

Seorang surirumah, penulis dan penterjemah yang telah terbit naskhahnya,

Image from: Tips Menarik Minat Anak Suka Membaca
Gambar oleh Sue Oshin

'Melentur buluh biarlah dari rebungnya', peribahasa yang acapkali kita dengar dan guna. Jika mahu mendidik anak-anak tentang apa sahaja perkara yang membawa kebaikan positif dalam kehidupan mereka, maka ajarilah dari kecil lagi. Begitu juga dengan membaca. Ajarlah membaca dari kecil supaya besar kelak minat membaca itu masih ada dalam diri.

Tidak perlu memaksa anak untuk terus mengenal buku seawal usia setahun jagung lagi. Tetapi, jadilah contoh kepada anak di mana mereka akan melihat ibubapa sering membaca buku sejak mereka kecil lagi. Dari sinilah permulaan awal bagi anak-anak untuk mengenali apakah itu buku?

Berikut adalah lima tips yang mungkin boleh digunapakai oleh ibubapa untuk menerapkan minat membaca terhadap anak-anak.

  • Pelbagaikan JENIS buku

Jika mahu dibandingkan dengan zaman dahulu kala ketika kita membesar dengan zaman sekarang di mana anak-anak membesar, terdapat jurang perbezaan yang amat ketara. Salah satu contohnya adalah kepelbagaian jenis buku yang berada di pasaran mengikut kategori usia anak.

Jika anak berusia setahun hingga dua tahun di mana mereka masih belum dapat ‘menyayangi’ buku itu sendiri, pilihan buku terbaik adalah dari jenis berkulit keras (board book), buku yang menghasilkan bunyi (soundbook), buku kalis air (baby bath book) dan buku dari jenis kain (cloth book atau baby book) kerana ia tidak mudah koyak dan tahan lama. Buku yang menghasilkan bunyi juga sangat bagus untuk merangsang deria pendengaran dan pengamatan mereka.

Seterusnya, buku jenis ‘flip and flap’ pula sesuai untuk anak-anak prasekolah bagi tujuan pembelajaran dan pengukuhan. Terdapat pelbagai jenis ‘flip and flap’ yang merangkumi soalan dan jawapan yang perlu dicari, ujian minda, tulis dan padam dan lain-lain lagi. Manakala, buku dari jenis sentuh dan rasa (touch and feel) sesuai untuk merangsang perkembangan motor halus pada tangan dan jari anak-anak.

Tidak ketinggalan juga untuk buku dari jenis timbul yang sering digelar sebagai ‘pop-out book’. Ia baik untuk merangsang minat membaca anak-anak di mana ia mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri seperti dari segi dimensi, ilustrasi dan grafik.

  • Intonasi nada ketika bercerita

Ibubapa digalakkan membaca bersama anak tidak kira masa apabila berkesempatan. Waktu yang terbaik adalah ketika sebelum masuk tidur. Aktiviti ‘bed time story’ dan ‘read aloud’ sangat sinonim dengan budaya membaca di Barat bahkan juga di Asia Tenggara. Justeru itu, ketika sedang membacakan buku cerita kepada anak-anak, maka ibubapa boleh lakonkan watak dalam cerita tersebut dengan nada yang berlainan. Kepelbagaian intonasi nada inilah yang akan merangsang daya imaginasi mereka dan seterusnya memberi perkembangan positif di mana budaya membaca ini secara tidak langsung telah ditanam dalam diri anak-anak.

  • Aktiviti berdasarkan buku

Aktiviti membaca tidaklah terhad pada membaca sahaja. Jika membaca buku berkaitan sains seperti komik atau buku bergambar, maka ibubapa boleh membuat aktiviti bersama seperti eksperimen. Pelbagai lambakan buku aktiviti di pasaran seperti buku pelekat (sticker book) dan juga buku DIY yang sangat berguna untuk merangsang daya kreativiti dan imaginasi anak-anak.

  • Bawa anak ke kedai buku atau perpustakaan

Perkara paling seronok dilakukan bersama anak adalah membawa mereka ke kedai buku atau perpustakaan. Jika ada bajet blebih, ibubapa boleh belanja anak-anak buku yang mereka sukai di kedai buku. Untuk anak-anak yang sudah tahu membaca, aktiviti inilah yang paling mereka nantikan. Ajar mereka mengenalpasti buku yang bagus isi kandungannya untuk dibaca dan pastikan juga, ibubapa cakna akan isi kandungan novel di pasaran. Setiap buku pasti ada kelebihan yang tersendiri, tidak kira komik mahupun novel awal remaja.

Selain itu, ajar dan bawa anak-anak untuk pergi ke perpustakaan yang berdekatan. Meminjam buku di perpustakaan bukan sahaja mampu menerapkan budaya membaca kepada mereka, sekaligus mengajar mereka untuk menjaga amanah yakni harta perpustakaan sebaik mungkin dan pulangkan pada waktu yang ditetapkan ketika dalam tempoh pinjaman buku.

  • Kenalkan apa itu buku dan mengapa perlu membaca

Tatkala anak-anak sudah tahu membaca pada usia 5-6 tahun, detik inilah ibubapa perlu menjelaskan kepada mereka mengapa perlu membaca dan apa itu buku. Aanak-anak akan dididik untuk mencintai dan menghargai buku dengan sebaik mungkin tanpa merendahkan martabat buku itu sendiri.

Tuntasnya, buku itu adalah sebuah ladang ilmu di mana semua perkara yang tidak kita ketahui berada di sana. Buku itu juga membawa kita menjadi seorang manusia yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang sekeliling. Dengan buku jugalah, kita akan celik dengan dunia di sekitar kita bahkan tidak terhad ilmu pengetahuan yang kita ada meskipun hanya dengan membaca novel fiksyen.


Sue Oshin adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.