
BAYAN LEPAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberikan jawapan yang jelas ketika ditanya sama ada beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO berhubung isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaliknya, Anwar hanya memaklumkan bahawa beliau sedang dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri program bersama pimpinan kerajaan.
“Saya baru nak balik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
“Malam ini ada ‘retreat’ Perpaduan di Port Dickson,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, ketika ditanya lanjut sama ada beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin UMNO ketika program tersebut, Anwar enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, seramai 145 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara dilaporkan mendesak Perdana Menteri mengambil tanggungjawab penuh untuk melaksanakan Titah Adendum yang didakwa diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Titah itu membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Mereka menegaskan bahawa tiada lagi alasan untuk kerajaan melengahkan pelaksanaan arahan tersebut.
Pada 9 Julai lalu, media melaporkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum, namun hanya mempersoalkan prosedur pengemukaan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman oleh Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Pada Januari lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

