
PETALING JAYA – Prinsip dan budaya syura perlu dijadikan suluh, manakala adab menjadi kemudi dalam mengurus perbezaan pandangan khususnya dalam kalangan umat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara inti pati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Ke-75 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, ketika pendapat bersilang dan suara meninggi, kejernihan pertimbangan serta kesantunan budi perlu terus menjadi pegangan dalam peribadi dan perwatakan diri.
“Saya telah meminta pihak Jakim untuk menghadam dan menyebarluaskan titah Tuanku ini untuk dihayati oleh segenap peringkat masyarakat.
“Titah ini ialah nasihat berharga buat kami semua dalam pimpinan kerajaan, parti-parti politik, badan dakwah dan masyarakat seluruhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, amanah tersebut perlu diterjemahkan melalui tutur kata dan tindakan dengan mengamalkan musyawarah secara terbuka, menegur dengan hikmah serta mendengar dengan rendah hati.
“Jangan berhujah sambil merobek tenunan ukhuwah dan jangan berbeza jalan hingga meruntuhkan jambatan persaudaraan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan junjung kasih kepada Sultan Nazrin atas perkenan mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Titah Sultan Nazrin itu dilihat menekankan kepentingan mengurus perbezaan secara beradab dan berlandaskan semangat syura demi memelihara keharmonian serta ukhuwah dalam masyarakat.-KOSMO! ONLINE
The post Titah Sultan Perak: Syura jadi suluh, adab kemudi perbezaan -PM appeared first on Kosmo Online.






