SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan.
Baginda bertitah, langkah itu penting agar semua pihak khususnya pemimpin politik memahami nilai asas yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara.
"Beta juga menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat (ADUN) Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen ini," titah baginda menerusi kenyataan disiarkan di Facebook Selangor Royal Office pada Selasa.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke Dataran Selangor pada Selasa bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang dibina berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Menurut baginda, pembinaan plak monumen itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bersama kemudahan tempat duduk untuk pengunjung, manakala kos pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh baginda sendiri.
Baginda bertitah, monumen tersebut dibina sebagai usaha mengingatkan rakyat mengenai sejarah lahirnya Rukun Negara susulan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Titah baginda, ketika itu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan semasa darurat telah merangka konsep Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan demi memperkukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.
Sultan Sharafuddin turut berharap orang ramai terutama generasi muda dapat membaca serta menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara yang dipaparkan pada plak monumen berkenaan.





