Oleh Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
TITAH Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, semasa pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang baru-baru ini bukan sekadar protokol tahunan, tetapi merupakan sebuah peringatan terhadap perhubungan antara Persekutuan dan Negeri dalam kerangka Federalisme.
Baginda dengan tegas menzahirkan rasa kekecewaan terhadap Kerajaan Persekutuan yang tidak meluluskan usaha Negeri Pahang untuk menambah hasil negeri melalui eksport pasir Sungai Pahang serta penyertaan kontraktor tempatan dalam projek Persekutuan.
Titah ini perlu diambil serius oleh Putrajaya dan tidak wajar sama sekali dibalas secara sinis. Ini kerana prinsip federalisme menuntut agar tiada negeri dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan. Menurut baginda, pengorbanan Negeri Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung yang mengekalkan keseimbangan alam sekitar tidak boleh diukur sekadar dengan nilai cukai, tetapi harus dihargai melalui sokongan terhadap hak ekonomi negeri.
Barangkali, kemurkaan KDPM Tengku Mahkota Pahang berpunca daripada kelewatan melampau agensi Persekutuan dalam menangani isu-isu berbangkit, sama ada yang bersifat pokok mahupun pinggiran.
Kelewatan yang tidak munasabah ini akhirnya menghalang penjualan "gunung pasir" yang terbiar membukit di muara Sungai Pekan, sekali gus membantutkan aktiviti perlombongan pasir yang amat diperlukan untuk kelestarian Sungai Pahang.
Pihak yang mempertahankan sekatan tersebut sering membangkitkan isu teknikal seperti proses perlombongan pasir yang tidak teratur, ketiadaan kawalan tebing sungai, atau kutipan royalti yang rendah. Namun, alasan ini sebenarnya mendedahkan kegagalan jentera Persekutuan sendiri.
Tadbir urus pemberian lesen, syarikat konsesi, dan pemantauan kerja sebenarnya sudah ada dalam sistem. Jika ada kelemahan, ia wajar ditambah baik melalui kerjasama, bukannya dijadikan alasan untuk membekukan ekonomi negeri tanpa jangka masa atau kaedah pemulihan yang jelas.
Dalam apa jua keadaan, tindakan menggantung atau tidak mengeluarkan lesen eksport adalah sama sekali tidak wajar jika Kerajaan Persekutuan tidak menyediakan alternatif agar hasil negeri itu dapat menyumbang pendapatan kepada khazanah negeri.
Polisi perdagangan dan eksport yang diletakkan di bawah bidang kuasa Persekutuan (Jadual Kesembilan, Senarai I, Butiran 8) adalah sebuah amanah, bukannya "veto" untuk memprejudiskan ekonomi wilayah.
Menyekat punca pendapatan negeri tanpa menyediakan jalan keluar bermaksud menafikan hak negeri untuk mengecap kemakmuran daripada kurniaan hasil buminya sendiri. Lebih ironi, Kerajaan Persekutuan sebenarnya turut menikmati kutipan cukai korporat dan individu daripada pemegang taruh industri pasir.
Adalah tidak adil bagi Kerajaan Persekutuan untuk terus mengutip cukai daripada hasil lain negeri Pahang melalui LHDN, tetapi pada masa yang sama bertindak melemahkan rantaian ekonomi yang menjana cukai tersebut.
Lihatlah gunung pasir yang terbiar di muara Sungai Pahang. Ia adalah simbol pembaziran ekonomi yang nyata. Mendapan pasir yang akhirnya membentuk pulau kecil adalah punca utama sungai menjadi cetek, aliran sungai terganggu yang seterusnya mengakibatkan banjir besar di Pekan dan kawasan sekitarnya. Apabila kerja pendalaman sungai Pahang terbantut disebabkan kegagalan Persekutuan memudahcara keperluan Negeri dalam masa munasabah, rakyatlah yang menanggung bebannya.
Pendalaman sungai bukan sekadar aktiviti komersial, ia adalah langkah keselamatan awam. Membiarkan gunung pasir bertahun-tahun sehingga mengakibatkan kerugian hasil negeri dan risiko nyawa akibat banjir adalah satu bentuk kegagalan tadbir urus yang amat serius.
Langkah berstrategik perlu dilakukan segera untuk menangani isu ini secara bijaksana. Kerajaan Persekutuan perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas atau task force dengan segera untuk meneliti segala isu berbangkit. Matlamatnya adalah memastikan titah baginda dilaksanakan mengikut kaedah terbaik dan dalam tempoh yang munasabah.
Jika lesen eksport masih dibekukan, agensi Persekutuan wajib memikirkan rantaian pasaran domestik atau membekalkan pasir tersebut kepada projek infra-rakyat di bawah seliaan Persekutuan. Selain itu, titah baginda agar keutamaan pelaksanaan kerja projek di negeri Pahang diberikan kepada syarikat dan kontraktor tempatan yang kompeten hendaklah disambut baik.
Anak-anak negeri Pahang perlu diberikan peluang utama untuk membangunkan tanah air mereka sendiri, bukannya sekadar menjadi penonton kepada syarikat luar yang memonopoli kontrak besar.
Kerajaan Persekutuan perlu menginsafi sejarah penubuhannya. Persekutuan Tanah Melayu berada di bawah pentadbiran interim pada tahun 1948 melalui persetujuan Raja-Raja Melayu sebelum pemerintahan Persekutuan diambil alih sepenuhnya oleh Kerajaan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1957.
Persekutuan didirikan oleh negeri yang berdaulat untuk berkhidmat kepadanya mengikut tadbir urus Perlembagaan Persekutuan. Senarai I di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan merupakan amanah negeri kepada Persekutuan, tanpa amanah tersebut sudah pasti hasil tertentu dan cukai pendapatan rakyat Negeri tidak diserahkan kepada Persekutuan.
Di bawah Perkara 91 (Majlis Tanah Negara), Perkara 92 (Rancangan Pembangunan Negara), dan Perkara 93 (Siasatan dan Tinjauan), Perlembagaan sebenarnya telah menyediakan landasan untuk Persekutuan memajukan sumber alam melalui perundingan dan kerjasama erat.
Persekutuan seharusnya menggunakan jentera agensinya untuk memudahcara (facilitate) keperluan Negeri, bukannya menjadi "tembok" penghalang yang merugikan semua pihak. Kegagalan menggunakan instrumen perundingan tersebut boleh dianggap sebagai pecah amanah perlembagaan (constitutional breach of trust) oleh agensi Persekutuan.
Titah baginda agar janganlah sampai satu hari nanti, Negeri Pahang terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Persekutuan demi menuntut hak wilayahnya merupakan satu peringatan agar Persekutuan menginsafi kewajipannya di bawah Perlembagaan.
Sebarang polisi baharu mengenai pengurusan hasil bumi hendaklah jelas, telus, dan mempunyai garis masa yang munasabah serta perlu dirundingkan dengan negeri.
Gagasan Malaysia MADANI tidak akan mencapai maksudnya yang sebenar jika hak ekonomi negeri Pahang tidak dibangunkan secara optimum. Sudah sampai masanya Putrajaya menterjemahkan komitmen keadilan melalui tindakan segera yang tidak merugikan kedua-dua belah pihak melalui semangat federalisme.
Hargailah persetujuan raja pemerintah Negeri Melayu yang menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu yang bebas dan berdaulat dalam Komenwel pada 31 Ogos 1957. Tarikh tersebut menandakan Kesultanan Pahang bersama-sama kesultanan Melayu yang lain mendirikan Persekutuan, bukannya dibebaskan daripada penjajahan.
Jasa ini terlalu besar untuk dilupakan.
*** Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Profesor Madya ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/ Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan pengasas Jurisprudens Watan & Fiqh Al-Watan
