Malaysia melakar sejarah baharu dalam pengukuhan keupayaan pertahanan maritim apabila Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilancarkan secara rasmi dalam satu upacara penamaan dan pelancaran di limbungan kapal, di sini hari ini.
Upacara itu disempurnakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Pertahanan Nasional Turkiye, Musa Heybet; Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Abdul Hadi Omar dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor.

Kapal pertama LMSB2 itu dinamakan “Tunku Laksamana Abdul Jalil”, sebelum disempurnakan pelancarannya menerusi simbolik pelepasan kendi berisi air zam zam yang dibacakan surah Yasin ke bahagian haluan kapal, mengikut tradisi penamaan aset Tentera Laut yang telah diamalkan sejak era Royal Navy.

Penamaan kapal tersebut membawa makna mendalam apabila ia diangkat bagi memperingati Almarhum Tunku Abdul Jalil, tokoh diraja Johor yang dikenali dengan semangat juang serta legasi kebajikan menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Dalam titah baginda, Raja Zarith Sofiah menzahirkan penghargaan terhadap pemilihan nama kapal berkenaan yang disifatkan amat bermakna kepada keluarga diraja Johor.
“Ia adalah satu penghormatan yang amat kami hargai,” titah baginda.
Kapal Kelas Tunku berasaskan reka bentuk kapal korvet kelas-Ada oleh syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) dengan panjang keseluruhan 99.56 meter (m) dan keluasan 14.42m itu adalah aset tempur terkini TLDM yang direka untuk operasi pelbagai dimensi.
Kejayaan pelancaran itu turut menyaksikan kemajuan kejuruteraan yang signifikan apabila kapal terbabit akan memulakan fasa setting to work (STW) dan integrasi sistem peperangan dan penderia di kapal.

Pelancaran itu turut menandakan pengukuhan kerjasama strategik pertahanan antara Malaysia dan Turkiye, selain memperkukuh kesiapsiagaan TLDM dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim serantau yang semakin kompleks.
Sumber: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Khaled Nordin









