KUALA LUMPUR 21 Mei – Telekom Malaysia Berhad (TM) memulakan tahun kewangan 2026 dengan momentum pertumbuhan yang kukuh apabila mencatat peningkatan prestasi kewangan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.
Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM2.93 bilion, meningkat 2.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan merentas semua segmen perniagaan utama.
TM berkata pertumbuhan tersebut disokong oleh prestasi lebih baik dalam segmen perniagaan ke pengguna (B2C), perniagaan ke perniagaan (B2B) serta penyedia ke penyedia (C2C), yang terus mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan perkhidmatan digital.
“Dalam masa sama, TM turut merekodkan pelarasan sekali sahaja berjumlah RM127.3 juta berkaitan penurunan nilai kapasiti prabayar yang tidak digunakan di bawah perjanjian akses 5G susulan pengumuman pada Februari lalu.
“Selepas mengambil kira pelarasan tersebut serta item luar biasa lain, keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATAMI) teras Kumpulan meningkat 9.3% kepada RM436.3 juta,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Sebelum pelarasan, pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) teras turut mencatat pertumbuhan 6.3% kepada RM593.3 juta, mencerminkan kekuatan operasi asas Kumpulan.
Prestasi ini turut disokong oleh usaha berterusan TM dalam meningkatkan kecekapan operasi serta pengurusan kos yang lebih berdisiplin bagi menghadapi persekitaran perniagaan yang mencabar.
Seiring dengan keputusan tersebut, TM mengisytiharkan dividen suku tahunan sebanyak 6.5 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 78% daripada PATAMI dilaporkan bagi suku berkenaan.
Bagi segmen B2C yang merangkumi Unifi, hasil meningkat 5.1% kepada RM1.46 bilion, dipacu oleh penerimaan lebih kukuh perkhidmatan konvergens serta jualan peranti melalui pakej langganan.
Segmen B2B yang merangkumi TM One dan Credence pula mencatatkan peningkatan hasil kepada RM671.5 juta, disokong oleh pengembangan portfolio perkhidmatan teras baharu termasuk penyelesaian awan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta perniagaan digital.
Sementara itu, segmen C2C melalui TM Global mencatatkan hasil sebanyak RM776.6 juta, meningkat 2.1%, disokong oleh permintaan tinggi daripada syarikat berskala hiper antarabangsa serta peluasan rangkaian sambungan domestik dan antarabangsa.
TM berkata semua segmen perniagaan utama terus menunjukkan pertumbuhan sihat hasil strategi pengukuhan portfolio perkhidmatan digital dan ketersambungan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, syarikat memulakan 2026 dengan momentum yang menggalakkan hasil pelaksanaan strategi transformasi berterusan.
Beliau berkata, fokus TM adalah memperkukuh tawaran perkhidmatan empat serangkai (quad-play) yang merangkumi mudah alih, jalur lebar, TV dan kediaman pintar, di samping memperluas perkhidmatan digital untuk pemilik perniagaan.
“Pertumbuhan turut disokong oleh segmen digital B2B dan C2C termasuk perkhidmatan awan, keselamatan siber, perkhidmatan pintar, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
“Strategi jangka panjang PWR 2030 terus membuahkan hasil dengan mencipta nilai mampan kepada pemegang saham serta memperkukuh daya saing TM sebagai peneraju digital negara,” katanya.
TM turut menegaskan bahawa pihaknya kekal berhati-hati terhadap prospek tahun kewangan 2026 berikutan ketidaktentuan global, namun akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi pertumbuhan secara berdisiplin.- DagangNews.com





