
TELEKOM Malaysia (TM) Bhd akan mempergiat usaha menangani sebarang kerosakan atau keadaan tidak teratur membabitkan asetnya di sebuah kawasan perumahan di Luyang manakala Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut berjanji mengambil tindakan sama terhadap kemudahan lampu jalan awam di Jalan Lintas.
Tindakan itu susulan maklum balas mengenai kekurangan penyelenggaraan terhadap kabel dan tiang di lokasi terbabit dengan sebahagian kemudahan berkenaan dilihat melendut atau berada dalam keadaan seolah-olah boleh tumbang pada bila-bila masa.
Seorang pelanggan TM di Taman Soon Kiong menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan perkhidmatan telekomunikasi sekiranya kabel yang tergantung rendah di sebahagian kawasan perumahan itu tersangkut pada bahagian atas kenderaan besar dan terputus.
Sementara itu seorang pekerja pejabat dari Kolombong pula bimbang mengenai bahaya kepada pengguna jalan raya akibat sebuah tiang di jalan utama yang dilihat condong.
Individu terbabit memberikan lokasi bagi kedua-dua masalah berasingan itu kepada Hotline sebelum maklumat berkenaan disalurkan kepada pihak berkaitan.
Jurucakap TM berkata kakitangannya mengesahkan salah satu kabel milik syarikat itu di Lorong Bernam dibebani dahan pokok yang patah ketika melakukan pemeriksaan di Taman Soon Kiong.
“Bahagian berkaitan telah dimaklumkan mengenai hasil pemeriksaan tersebut,” katanya.
DBKK telah mengambil tindakan terhadap kemudahan lampu jalan yang condong di Jalan Lintas.Menurutnya satu pasukan kedua kembali ke lokasi beberapa hari kemudian dengan membawa peralatan yang diperlukan untuk mengalihkan dahan berkenaan daripada kabel udara itu.
“Empat juruteknik kami kemudiannya melaraskan semula kabel dan tiang yang menyokong aset tersebut ke kedudukan asal,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai kekerapan kerja penyelenggaraan dilakukan terhadap kemudahan TM di sekitar Luyang, jurucakap itu berkata tiada jadual tetap bagi kerja berkenaan.
“Penyelenggaraan terhadap aset ini dilakukan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun kami telah meminta kontraktor supaya lebih peka dan teliti dalam memantau keadaan kemudahan kami,” jelasnya.
Juruteknik DBKK turut diminta melakukan perkara sama membabitkan lampu jalan di kawasan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.
Berhubung Jalan Lintas, jurucakap Jabatan Kejuruteraan DBKK berkata pemeriksaan terhadap kemudahan berkaitan berhampiran pusat komersial Metrotown telah dilakukan beberapa hari selepas DBKK dihubungi pihak media.
“Pemeriksaan mendapati sebuah tiang yang menyokong kabel udara bagi lampu jalan di bahagian Jalan Lintas itu telah rosak.
“Berkemungkinan seorang pemandu yang tidak bertanggungjawab telah melanggar struktur tersebut sehingga menyebabkannya bengkok pada sudut yang tidak normal,” katanya.
Beliau berkatamenyatakan kontraktor yang dipertanggungjawabkan menyelenggara lampu jalan di kawasan berkenaan kembali ke lokasi pada malam sama untuk membetulkan semula kedudukan tiang itu.
“Tindakan turut diambil bagi menangani masalah sama yang membabitkan lampu jalan tiga lengan di kawasan berhampiran,” ujarnya.
