
KAKITANGAN Telekom Malaysia (TM) Bhd diminta supaya lebih peka terhadap sebarang kerosakan atau masalah membabitkan pepasangan milik syarikat itu di Kunak bagi meminimumkan kesulitan kepada pelanggannya.
Gesaan itu susulan maklum balas seorang penduduk Kg Madai yang tidak dapat menggunakan perkhidmatan Unifi selama lebih seminggu baru-baru ini.
Pelanggan berkenaan memberikan butiran berkaitan aduannya kepada Hotline. Maklumat ini kemudian dikemukakan kepada syarikat terbabit.
Jurucakap TM berkata sepasukan petugas daripada Bahagian Rangkaian di Kunak pergi ke Kg Madai sejurus selepas pihak media menghubungi syarikat itu.
“Juruteknik kami mendapati terdapat kesan gigitan pada salah satu talian atas kami yang menyebabkan gangguan perkhidmatan Unifi,” katanya.
“Ia kelihatan seolah-olah kabel penghantaran itu menjadi sasaran tupai.”Menurut jurucakap itu, pasukan TM terus menggantikan infrastruktur yang rosak di lokasi berkenaan.
“Kakitangan kami kemudiannya memeriksa kabinet dan titik pengagihan yang menyediakan perkhidmatan kepada kedua-dua pelanggan. Mereka mengetatkan sebarang sambungan yang longgar di dalamnya dan memeriksa semula bagi memastikan perkhidmatan Unifi untuk pelanggan berkenaan berfungsi seperti sepatutnya.”Katanya, masalah yang berpunca daripada gangguan haiwan perosak itu telah dibangkitkan dalam satu mesyuarat di ibu pejabat TM di Kota Kinabalu awal tahun ini.
“Kami bercadang untuk memindahkan pepasangan kami ke lokasi yang lebih sesuai dalam jangka panjang apabila masa dan peruntukan membolehkan.
Bagaimanapun, pihak pengurusan atasan di peringkat kebangsaan perlu memutuskan sama ada langkah itu wajar dilaksanakan.”Jurucakap itu berkata tiada jadual penyelenggaraan tetap bagi pepasangan TM di seluruh negeri.
“Aset kami diselenggara apabila perlu.”Sehubungan itu, katanya, kakitangan syarikat telah diminta supaya lebih peka terhadap sebarang kerosakan atau masalah yang melibatkan struktur berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Ini bukan kali pertama tahun ini TM terpaksa berdepan kerosakan pada pepasangannya akibat haiwan perosak.
Tupai merosakkan sebahagian talian syarikat di satu kawasan di Kg Simpang Empat pada Mac lalu menyebabkan dua pelanggan Unifi tidak dapat menggunakan perkhidmatan WiFi mereka selama dua minggu.
Tiga lagi penduduk dari kampung sama mengalami gangguan serupa selama hampir sebulan pada Januari lalu yang turut berpunca daripada serangan haiwan perosak.

