TM Global perluas infrastruktur rangkaian internet di Sabah dan Sarawak
diyana
30/10/2023 - 16:55
KUALA LUMPUR 30 Okt - TM Global, cabang perniagaan borong domestik dan antarabangsa TM, memperluaskan infrastruktur rangkaian dengan penambahan dua gerbang internet antarabangsa (IGW) di Sabah dan Sarawak.
IGW akan berfungsi sebagai hab penting pertukaran trafik internet antarabangsa, mencerminkan komitmen syarikat untuk terus memperluaskan infrastruktur rangkaian tempatannya dan menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi di Malaysia Timur.
Peluasan rangkaian tersebut membolehkan pelanggan TM di Malaysia Timur dan yang berdekatan mengakses trafik internet global melalui laluan paling efisyen.
Dengan mengurangkan trafik kembali ke Semenanjung Malaysia, IGW ini akan meningkatkan kelajuan sambungan dan kebolehpercayaan dengan ketara untuk perniagaan, penyedia perkhidmatan dan pelanggan mereka.
Kedua-dua IGW ini terletak di Penampang (Sabah) dan Stampin (Sarawak), mengukuhkan nod ibus sawat internet (internet exchange, IX) sedia ada TM Global di seluruh Sabah dan Sarawak.
Nod sedia ada di Sabah adalah di Kota Kinabalu, Inanam, Elopura, Menggatal dan Putatan. Nod di Sarawak pula terletak di Kuching, Bintulu, Miri, Petra Jaya, Kuala Baram dan Tabuan Jaya.
Mengulas mengenai inisiatif terbabit, Naib Presiden Eksekutif TM Global, Khairul Liza Ibrahim berkata, IGW membantu merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar di Sabah dan Sarawak, memanfaatkan kawasan berpenduduk padat dan meningkatkan liputan Internet untuk komuniti di pekan kecil dan lokasi terpencil.

Katanya, ini akan membantu memacu peluang digital untuk pendidikan, prospek pekerjaan dan keusahawanan yang akan melonjakkan komuniti tersebut kepada ekonomi digital.
“Capaian rangkaian yang dipertingkatkan ini juga memperkasa TM Global untuk menawarkan pengalaman digital lebih diperkaya, memudahkan perkongsian kandungan secara global pada kelajuan lebih pantas, sambil mengurangkan kependaman (latency).
“Kemajuan ini sejajar dengan trajektori progresif teknologi 5G, menggambarkan dedikasi tidak berbelah bahagi kami untuk meletakkan Malaysia sebagai hab digital dipercayai di rantau ASEAN,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini. - DagangNews.com

