TM lancar makmal inovasi penuhi keperluan penyelesaian digital perniagaan dan sektor kerajaan
herman
20/02/2024 - 15:31
KUALA LUMPUR 20 Feb - TM One melancarkan Innovation Lab dan Enterprise 5G Lab, makmal yang direka khusus untuk mempercepatkan perkembangan perkhidmatan dan penyelesaian digital.
Menurut TM, inisiatif ini memenuhi keperluan unik sektor perusahaan dan Kerajaan, memupuk inovasi dan memperkasakan peluang pertumbuhan digital untuk TM, pelanggan, rakan niaga dan masyarakat.
Makmal berkenaan terletak di TM Digital Academy yang mempunyai kelengkapan canggih di Universiti Multimedia, Cyberjaya.
"Ia menyediakan ruang di mana TM, pelanggan dan rakan niaganya boleh merealisasikan idea menjadi penyelesaian yang sesuai, mewujudkan peluang dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini.
"Kedua-dua kemudahan akan berfungsi sebagai hab untuk menghimpunkan teknologi terkini, pemimpin digital dan idea," kata syarikat itu yang mana majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Digital, Gobind Singh hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pelancaran Innovation Lab dan Enterprise 5G Lab oleh TM One merupakan pencapaian penting kepada komitmen untuk memacu inovasi dan memberikan nilai kepada pelanggan, rakan niaga dan negara.
"Melalui inisiatif ini, kami menyasarkan untuk memupuk kerjasama industri yang lebih kuat dan mendorong bidang utama seperti 5G Perusahaan dan Perkhidmatan Pintar dengan AI untuk membantu organisasi berkembang maju dalam era digital.
“Pelancaran Innovation Lab and Enterprise 5G Lab ini mengukuhkan peranan kami sebagai rakan niaga yang dipercayai untuk organisasi yang ingin memanfaatkan kebolehan teknologi digital dan memacu pertumbuhan serta transformasi dalam perniagaan mereka dan komuniti yang lebih luas,” katanya.
Menurut TM, melengkapkan inisiatif ini ialah Program 5G Sphere Partnership TM One, dengan peluang perkongsian dengan lebih 50 entiti tempatan dan antarabangsa untuk menyokong penciptaan bersama inovasi baharu.
"TM One Sandbox pula menyediakan persekitaran untuk ujian operasi yang selamat buat rakan niaga dan pelanggan untuk membangunkan penyelesaian tersuai," katanya. - DagangNews.com


